Semangat patriotik semakin luntur dalam kalangan
remaja pada masa ini. Jelaskan peranan ibu bapa dalam menerapkan semangat
patriotik dalam jiwa anak-anak.
Setiap negara
mempunyai sejarah yang tersendiri. Di Malaysia, sejarah yang ada telah
membentuk identiti negara kita. Negara kita terdiri daripada rakyat yanhg
berbilang kaum iaitu Melayu, Cina, India, Kadazan, Dusun dan sebagainya.
Perpaduan kaum yang terbentuk pada masa dahulu sehingga kini merupakan satu
pencapaian negara yang amat membanggakan. Rakyat yang berbilang kaum ini dapat
hidup bersama secara aman damai kerana mereka mempunyai semangat patriotik yang
kukuh dan kental dalam diri mereka. Walau bagaimanapun, masyarakat pada zaman
moden ini, asyik dengan perkembangan dunia sehingga mengabaikan kepentingan semangat patriotik dalam diri mereka. Amat jelas dapat dilihat bahawa
masyarakat kini kurang berpengetahuan tentang sejarah pembentukan negara hasil
perjuangan oleh tokoh pejuang bangsa seperti Dato’ Maharajalela, Dato’ Bahaman,
Tok Janggut dan sebagainya. Masyarakat kini kurang bersyukur dengan keamanan
dan kemakmuran yang terdapat di negara kita. Oleh itu, pelbagai usaha perlu
dilakukan oleh pelbagai pihak bagi menyuburkan semangat patriotik dalam jiwa
masyarakat. Persoalannya, apakah peranan ibu bapa dalam menerapkan semangat
patriotik dalam jiwa anak-anak?
Sesungguhnya
tidak dapat dinafikan bahawa ibu bapa memainkan peranan yang utama dalam
menerapkan dan menyuburkan semangat patriotik dalam jiwa anak-anak. Ibu bapa
seharusnya sentiasa membawa anak-anak melawat ke tempat-tempat yang bersejarah.
Contohnya, ibu bapa hendaklah membawa anak-anak ke Bandar Bersejarah, Melaka.
Di situ, terdapat pelbagai barang dan bangunan tinggalan sejarah. Amalan ini
dapat menimbulkan dan melahirkan minat anak-anak untuk mengetahui latar belakang
dan asal-usul pembentukan negara dan seterusnya akan wujud semangat patriotik
dalam jiwa anak-anak. Tempat-tempat bersejarah seperti Lembah Bujang, Seri
Menanti, Kota Belanda di Perak dan sebagainya boleh dijadikan sebagai destinasi
lawatan. Aktiviti lawatan ke tempat yang bersejarah merupakan langkah bagai
serampang dua mata kerana anak-anak bukan sahaja dapat menimba ilmu
pengetahuan, tetapi juga dapat mengekalkan hubungan silaturahim yang erat
antara keluarga. Jelasnya, lawatan ke tempat yang bersejarah boleh dijadikan
amalan setiap kali cuti persekolahan oleh ibu bapa sebagai cara menerapkan
semangat patriotik dalam jiwa anak-anak.
Selain itu, ibu bapa juga hendaklah membeli
buku-buku yang berkaitan dengan sejarah atau buku-buku novel bertemakan semangat
patriotik dan semangat cinta akan negara kepada anak-anak. Hal ini demikian
kerana melalui proses pembacaan, anak-anak dapat mengetahui lebih banyak
perkara berkaitan dengan sejarah. Buku-buku sejarah dan novel dapat membantu
menerapkan semangat patriotik dalam jiwa anak-anak kerana buku-buku tersebut
mempunyai isi kandungan yang berunsur patriotisme. Hal ini amat jelas
menunjukkan bahawa usaha ibu bapa dalam memilih buku-buku yang sesuai untuk
anak-anak adalah amat penting. Oleh itu, ibu bapa haruslah memilih buku-buku
yang tinggi nilai ilmunya dan bukannya buku-buku komik yang tidak bermanfaat.
Dengan membaca buku-buku berunsurkan patriotisme, pasti semangat patriotik
dapat diterapkan dalam jiwa anak-anak. Amalan membaca buku-buku tersebut
hendaklah dipupuk sejak dari kecil lagi kerana melentur buluh biarlah dari
rebungnya. Apabila anak-anak membesar nanti, mereka akan sentiasa bersemangat
patriotik dan suka membaca kerana kalau asal benih yang baik jatuh ke laut
menjadi pulau, terlontar ke udara menjadi kejora dan dicampak ke bumi menjadi penawar.
Di samping itu,
ibu bapa juga haruslah menjadi ‘role model’ atau suri teladan kepada anak-anak.
Ibu bapa perlu sedar bahawa segala perbuatan, perlakuan, amalan, pertuturan dan
pemikiran mereka akan diikuti oleh anak-anak. Oleh hal yang demikian, ibu bapa
hendaklah sentiasa menunjukkan sikap yang positif kepada anak-anak. Sebagai
contohnya, ibu bapa boleh mengibarkan bendera di rumah atau melakukan aktiviti
yang boleh menunjukkan sokongan terhadap negara. Ibu bapa janganlah menyertai
apa-apa protes terhadap negara kerana perbuatan sedemikian hanya akan menjadi
seperti ketam mengajar anak berjalan betul, tetapi diri sendiri tidak betul..
Oleh itu, ibu bapa harus sentiasa menunjukkan contoh yang tebaik kepada anak-anak
kerana ke mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi. Ibu bapa boleh membawa
anak-anak menyertai program larian 1 Malaysia, ceramah tentang Sejarah Negara,
atau lawatan ke Muzium Negara. Ibu bapa haruslah melakukan usaha dengan sepenuh
hati agar anak-anak yang dibesarkan dapat menjadi insan yang cinta akan negara
dan bersemangat patriotik. Tegasnya, ibu bapa perlu menjadi suri teladan kepada
anak-anak bagi melahirkan generasi muda yang berwawasan.
Seterusnya, ibu
bapa perlu meluangkan masa untuk bercerita mengenai peristiwa-peristiwa atau
kisah yang berkaitan dengan sejarah kepada anak-anak bagi melahirkan generasi
muda yang bersemangat patrioti bak kata pepatah, “pemuda harapan bangsa, pemudi
tiang negara”. Sebagai contohnya, sebelum anak-anak masuk tidur, ibu bapa boleh
membacakan cerita mengenai pejuang-pejuang bangsa kepada anak-anak seperti
kisah perjuangan Datuk Bahaman, Datuk Maharajalela, Mat Kilau, Kapten Hasan dan
lain-lain ketika menentang Inggeris. Ibu bapa bolehl juga menceritakan sendiri
pengalaman nenek moyang terdahulu, betapa mereka menderita dizalimi dan
didera semasa zaman penjajahan di negara kita. Anak-anak yang bijak sudah
pastinya dapat membandingkan kehidupan mereka sekarang berbanding dahulu.
Hal ini boleh menerapkan semangat patriotik dalam jiwa anak-anak. Ibu
bapa juga boleh melayari Internet untuk mendapatkan maklumat-maklumat yang
diperlukan untuk bercerita kepada anak-anak. Dengan mempunyai maklumat yang
tepat, anak-anak akan mendapat informasi yang betul dan setelah itu, anak-anak
akan sentiasa teringat-ingat tentang kisah sejarah. Mereka akan belajar sesuatu
melalui sejarah lalu timbullah semangat patriotik dalam jiwa mereka. Oleh itu,
ibu bapa perlulah sentiasa mencari peluang atau kesempatan untuk menceritakan
pengalaman diri atau berbincang dengan anak-anak mengenai topik-topik
berunsurkan negara bagi menerapkan semangat patriotik dalam jiwa anak-anak.
Amalan-amalan ini haruslah dilaksanakan dengan berterusan kerana alah bisa
tegal dek biasa. Anak-anak akan cuba mengingati setiap cerita yang
pernah didengarnya terutama tentang sejarah negara. Tegasnya, ibu bapa perlu
melaksanakan tanggungjawab dengan baik bagi membentuk jiwa anak-anak yang
bersemangat patriotik.
Akhir sekali, ibu bapa juga haruslah membawa
anak-anak menyertai sambutan-sambutan negara seperti Hari Kebangsaan pada 31
Ogos, Hari Malaysia pada 16 September dan sebagainya. kita Dengan menyertai
sambutan hari kemerdekaan ini, semangat patriotik dapat disemai dalam diri
mereka. Sebagai contohnya, apabila anak-anak dapat bersama-sama
mengibarkan jalur gemilang, mendengar deklamasi sajak serta mendengar
cerita-cerita tentang kesengsaraan para pejuang tanah air untuk memerdekakan
negara. Anak-anak dapat melihat sendiri kemeriahan sambutan kemerdekaan sekali
gus memahami objektif sebab-sebab sambutan sebegini diadakan. Kisah disebalik
kemewahan dan kedamaian negara akan dapat dirungkai dan seharusnya dapat
menghadirkan keinsafan dalam diri mereka bahawa banyak harta benda dan nyawa
yang harus dikorbankan demi melihat Malaysia gagah seperti sekarang. Dengan
menyertai aktiviti sambutan inijuga, kita akan
mendapat peluang untuk melihat persembahan daripada kaum lain dan
berkenal-kenalan antara satu sama lain. Secara tidak langsung, perpaduan antara
kaum akan tercapai dan wujudlah masyarakat yang harmoni yang bersemangat
patriotik. Jelaslah bahawa, jika ibu bapa dapat membawa anak-anak
menyambut hari Kemerdekaan setiap tahun sejak mereka kecil lagi sudah
pasti semangat patriotik dapat dipupuk dengan mudah kerana melentur buluh
biarlah dari rebungnya.
No comments:
Post a Comment
Komen benda elok2 je. ^^