Huraikan langkah-langkah
yang perlu anda lakukan untuk mencapai kecemerlangan dalam peperiksaan.
Tidak dapat
dinafikan bahawa setiap murid pasti mempunyai keinginan untuk mencapai
kecemerlangan dalam peperiksaan. Kecemerlangan ini hanya akan dapat dicapai
sekiranya murid-murid berusaha bersungguh-sungguh untuk mencapainya.
Kecemerlangan dalam peperiksaan bukanlah sesuatu yang susah untuk dicapai
sekiranya murid itu sendiri mempunyai azam yang tinggi untuk mencapainya.
Murid-murid tidak sepatutnya menganggap perkara ini sesuatu yang remeh
atau mudah kerana keputusan peperiksaanlah yang akan menjamin masa hadapan
seseorang pelajar. Oleh itu, murid-murid janganlah menyesal pada masa hadapan
disebabkan tidak dapat memperoleh keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan
bak kata orang tua-tua “sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tiada berguna”.
Oleh sebab itu, saya sebagai salah seorang murid, saya harus berusaha
mencapai kecemerlangan dalam peperiksaan. Persoalannya, apakah langkah-langkah
yang sepatutnya saya lakukan untuk mencapai kecemerlangan dalam peperiksaan
nanti?
Langkah yang pertama yang akan saya lakukan
untuk mencapai kecemerlangan dalam peperiksaan ialah saya akan sentiasa
memberikan perhatian ketika guru sedang mengajar di bilikdarjah. Apabila
saya memberi perhatian ketika seseorang guru sedang mengajar sudah tentulah
sesuatu pembelajaran tersebut akan cepat diserap masuk ke dalam minda saya.
Bahkan seorang pakar psikologi pernah mengatakan bahawa “ lima puluh peratus
kejayaan pelajar-pelajar adalah disebabkan kerana mereka memberikan sepenuh
perhatian ketika proses pengajaran dan pembelajaran sedang dijalankan. Saya
juga akan terlibat secara aktif ketika proses pengajaran dan pembelajaran
sedang dijalankan agar dapat mewujudkan suasana bilik darjah yang ceria supaya
saya tidak akan berasa bosan dan secara tidak langsung saya akan dapat
mengingati apa-apa yang disoal atau ditanya oleh guru serta apa-apa yang saya
sebut atau yang saya ulangi. Saya juga akan menyiapkan segala kerja rumah yang
diberikan oleh guru-guru supaya saya akan lebih memahami sesuatu topik dan
tidak ketinggalan. Saya juga akan bertanya kepada guru-guru sekiranya terdapat
sesuatu topik atau tajuk yang saya kurang fahami kerana berdasarkan satu kajian
yang telah dijalankan dan telah mendapati bahawa kebanyakan kecemerlangan
pelajar-pelajar dalam peperiksaan adalah disebabkan oleh pelajar-pelajar yang
sentiasa mengemukakan soalan-soalan sekiranya terdapat sesuatu topik atau tajuk
yang kurang difahami oleh mereka. Tegasnya, memberi tumpuan ketika
guru-guru sedang mengajar dan dengan menyiapkan segala kerja rumah yang
diberikan oleh guru-guru merupakan salah satu langkah dalam mencapai
kecemerlangan dalam peperiksaan.
Selain itu, saya akan menguruskan masa dengan bijak dan baik. Saya akan
menyediakan jadual waktu belajar dan saya akan mengikutinya dengan tegas
sekiranya saya ingin mencapai kecemerlangan dalam peperiksaan. Hal ini demikian
kerana berdasarkan satu kajian, jadual waktu belajar dapat membantu para
pelajar menguruskan masa secara berkesan supaya mereka akan mempunyai masa yang
mencukupi untuk mengulang kaji pelajaran dengan lebih menyeluruh dan bersiap
sedia untuk menghadapi peperiksaan. Malah, jika saya mengikut jadual waktu
belajar yang telah saya tetapkan dengan apabila peperiksaan sudah hampir kerana
peribahasa menyatakan bahawa sediakan payung sebelum hujan. Tambahan pula,
kebanyakan pelajar yang berjaya biasanya terdiri daripada pelajar-pelajar yang
telah membuat persiapan awal. Manakala, pelajar-pelajar yang tidak membuat
persiapan awal kerana mereka terlalu leka membuang masa dan tidak berpegang
kepada pepatah “masa itu emas” dan “masa yang lalu tidak akan kembali” maka
mereka tidak dapat menghabiskan semua tajuk-tajuk sebelum tiba peperiksaan.
Jelasnya, pengurusan masa yang cekap akan memberi saya masa yang cukup untuk
membuat persediaan awal supaya saya dapat mencapai kecemerlangan dalam
peperiksaan yang akan saya duduki nanti.
Seterusnya, saya
akan mengikuti kelas tuisyen. Jika saya segan bertanya guru-guru di sekolah,
bolehlah saya bertanya kepada guru-guru yang mengajar di kelas tuisyen tetapi
saya juga perlulah menghapuskan perasaan segan bertanya kepada guru-guru di
sekolah kerana bak kata pepatah “malas berkayuh perahu hanyut”, “segan bertanya
sesat jalan”. Malahan, jika saya tidak memahami sesuatu topik yang diajar oleh
guru-guru di pusat tuisyen, maka bolehlah saya bertanya kepada guru-guru yang
mengajar di kelas tuisyen. Tambahan pula, jika terdapat sesuatu topik itu
diajar dua kali, maka saya akan mudah ingat dan saya juga akan menguasai sesuatu
topik itu. Contohnya, di sekolah yang diajar topik yang sama yang telah diajar
di pusat tuisyen terlebih dahulu, maka saya akan lebih faham. Di samping itu,
saya juga boleh mengikuti program di sekolah kerana ini juga membantu saya
untuk mencapai kecemrlangan dalam peperiksaan. Saya akan menyertai segala
program-program yang telah dianjurkan oleh pihak sekolah seperti Minggu Bahasa
Melayu dan Bahasa Inggeris, Teknik Menjawab Soalan-soalan dan lain-lain lagi.
Sekiranya saya menyertai dalam program-program yang dianjurkan oleh pihak
sekolah, saya akan didedahkan dengan jenis-jenis soalan dan latihan yang kerap
kali akan ditanya dalam peperiksaan. Jelasnya, penyertaan saya dalam
program-program sekolah dan mengikuti kelas-kelas tuisyen merupakan salah satu langkah
bagi saya untuk mencapai kecemerlangan dalam peperiksaan.
Langkah yang
berikutnya ialah saya akan bersikap sabar, tabah dan tidak mudah putus asa.
Saya tidak akan dapat cepat mengalah apabila saya gagal dalam sesuatu buat kali
pertama dan kedua, malah saya akan berusaha bersungguh-sungguh untuk lulus
dalam sesuatu perkara kerana saya berpegang pada prinsip, “gagal sekali tidak
bermakna gagal selama-lamanya”. Saya juga akan tabah apabila terdapat apa-apa
masalah atau cabaran yang saya hadapi. Seseorang yang ternama pernah menyatakan
bahawa jika seseorang itu berjaya dalam hidupnya, tentu dia telah memenuhi
kegagalan beberapa kali kerana untuk mencapai sesuatu tentu ada kekangan yang
akan kita tempuhi. Contohnya, jika saya gagal mendapat penyelesaian untuk
sesuatu soalan, saya tidak akan putus asa, malah saya akan mencuba beberapa
kali sehingga saya mendapat penyelesaiannya. Tegasnya, saya perlu bersikap
sabar, tabah dalam menghadapi halangan dalam mencapai kecemerlangan dalam
peperiksaan dan saya tidak akan mudah putus asa untuk memperoleh kecemerlangan
dalam peperiksaan.
Akhir sekali, saya juga akan mematuhi segala
nasihat daripada kedua-dua ibu bapa saya dan saya juga akan sentiasa berdoa
kepada Tuhan. Kata orang tua-tua, “Tuhan hanya akan menolong dan memberkati
hidup anak yang taat kepada ibu bapa”, Kenyataan ini pasti benar kerana
orang-orang tua mempunyai lebih banyak pengalaman. Saya akan sentiasa patuh
pada nasihat dan asuhan ibu bapa kerana saya sedar bahawa syurga terletak di
telapak kaki ibu. Misalnya, ibu bapa saya akan selalu menasihati saya untuk
belajar bersungguh-sungguh. Oleh itu, saya akan berusaha secara gigih untuk
memperoleh kejayaan yang cemerlang. Segala doa dan dorongan ibu bapa, saya tahu
walaupun betapa tabah atau bijak mana saya sekali pun, saya tidak mungkin dapat
memperoleh kejayaan yang cemerlang yang saya ingini tanpa doa, restu dan
dorongan daripada kedua-dua ibu bapa saya. Malah, saya juga akan sentiasa
berdoa kepada Tuhan supaya saya tidak akan jatuh sakit pada hari peperiksaan
kerana manusia hanya mampu merancang, Tuhan yang menentukan segala-galanya.
Jelasnya, untuk mencapai kecemerlangan dalam peperiksaan, saya perlulah
mematuhi segala nasihat kedua-dua ibu bapa saya dan saya juga akan sentiasa
berdoa dan bersyukur kepada Tuhan atas segala pemberianNya.
Berdasarkan
perbincangan di atas, dapatlah saya simpulkan bahawa untuk mencapai
kecemerlangan dalam peperiksaan, saya perlulah mengikuti langkah-langkah yang
telah saya tulis dalam perenggan di atas. Saya perlu mencapai kecemerlangan
dalam peperiksaan agar masa depan saya tidak gelap tetapi terang dengan cahaya
iaitu kejayaan. Kejayaan dalam peperiksaan adalah diibaratkan pelita yang
menjadi penyuluh kepada kita pada malam-malam yang gelap-gelita. Tanpa
kecemerlangan dalam peperiksaan kerana ini akan menentukan masa depan kita,
kita akan hidup teraba-raba dalam kegelapan. Oleh itu, saya akan belajar
berungguh-sungguh untuk mencapai kecemerlangan dalam peperiksaan ibarat
genggam bara api biar sampai jadi arang.
Rekayasa: Harum Awang- GC & Munsyi Dewan DBP
No comments:
Post a Comment
Komen benda elok2 je. ^^