Semangat kejiranan semakin hari
semakin luntur dalam kalangan masyarakat. Jelaskan peranan ibu bapa dalam usaha
memupuk semangat kejiranan dalam kalangan masyarakat.
Dalam kehidupan
sehari-hari, keluar dari rumah, sama ada memandang ke kanan, ke kiri atau
memandang hadapan atau belakang, rumah yang kita lihat ialah rumah jiran.
Betapa pun kita mengasihi adik-beradik dan saudara-mara, namun jarak yang
jauh menyebabkan pergantungan kita terhadap jiran lebih besar berbanding dengan
orang yang dekat dengan kita sejak lahir. Menurut perspektif Islam, konsep
jiran meliputi skop yang lebih luas sehingga menjangkau empat puluh buah rumah
atau keluarga yang tinggal berhampiran dengan kita. Semangat kejiranan pula
membawa pengertian jiran tetangga yang hidup berbaik-baik, bertolak ansur dan
bekerjasama antara satu sama lain. Dalam kehidupan kita, kita dilarang
menyakiti hati jiran, sebaliknya diminta mengambil berat antara satu sama lain
dan hidup berlandaskan kasih sayang sesama individu tanpa mengira keturunan,
usia, agama atau pangkat. Pepatah Melayu ada mengatakan bahawa “Jiran Sepakat
Membawa Berkat”. Jadi, kita perlulah mengutamakan jiran kita dalam kehidupan
dan mengukuhkan semangat kejiranan supaya kita sentiasa bersatu padu dalam
melakukan sesuatu perkara. Walau bagaimanapun, dalam era globalisasi yang
dipenuhi pelbagai pancaroba moden, semangat kejiranan dalam kalangan anggota
masyarakat, semakin meluntur. Oleh itu, semua lapisan masyarakat
terutamanya ibu bapa wajar mengambil langkah untuk memupuk semangat kejiranan
dalam kalangan masyarakat. Persoalannya, apakah langkah-langkah yang elektif
wajar diambil oleh ibu bapa untuk memupuk semangat kejiranan dalam kalangan
masyarakat?
Menyedari hakikat betapa pentingnya semangat
kejiranan diamalkan oleh masyarakat majmuk di negara ini, maka usaha perlu
dilakukan oleh ibu bapa agar nilai yang berharga ini tidak lenyap daripada
amalan hidup masyarakat kini. Ibu bapa haruslah menyertai aktiviti
gotong-royong yang dianjurkan oleh komuniti atau masyarakat setempat. Dalam hal
ini. ibu bapa boleh membawa anak-anak menyertai aktiviti tersebut bersama.
Melalui aktiviti gotong-royong, semua penduduk setempat dapat berkumpul
bersama sambil berbincang tentang aktiviti yang akan dilakukan. Apabila
berkumpul dan berbincang, mereka akan dapat berbual-bual dan berkenal-kenalan
antara satu sama lain dan sekali gus membolehkan seseorang itu mengenal hati
budi jiran mereka dengan lebih baik dan dekat. Hal ini dapat digambarkan
melalui pepatah Melayu yang mengatakan bahawa “ tak kenal maka tak cinta”.
Sebagai contoh, aktiviti yang boleh dijalankan secara bergotong-royong ialah
membersihkan kawasan taman, menyediakan hidangan untuk kenduri-kendara dan
sebagainya. Aktiviti-aktiviti yang dijalankan secara bergotong-royong memerlukan
masyarakat bekerjasama bagai aur dengan tebing agar aktiviti-aktiviti tersebut
dapat dijalankan dengan lancar dan baik. Melalui cara ini, setiap ahli keluarga
dapat menjalinkan hubungan mesra sesama jiran. Mereka juga
sedar akan peranan masing-masing dalam sesuatu komuniti . Apabila dewasa
kelak, anak-anak akan melakukan perkara yang sama untuk mengeratkan ikatan
kejiranan. Jelasnya, ibu bapa haruslah mengadakan aktiviti gotong-royong agar
dapat memupuk semangat kejiranan dalam masyarakat.
Selain itu, ibu bapa
perlulah menjadi suri teladan atau ‘role model’ yang baik kepada anak-anak
sekiranya mahu anak-anak mengamalkan semangat kejiranan dalam diri sendiri. Ibu
bapa perlulah mengamalkan cara hidup seperti ‘aur dengan tebing’ atau ‘ ke
bukit sama di daki, ke lurah sama dituruni’ dan ‘hati gajah sama dilapah,
hati kuman sama dicecah’ untuk mencapai keberkatan dalam hidup. Sebagai
anggota dalam sesebuah masyarakat, ibu bapa mesti mempunyai
semangat kekitaan dan keprihatinan terhadap jiran mereka.. Apabila
mengambil berat akan hal-hal jiran, bukanlah bermaksud kita hendak menjaga tepi
kain mereka atau mengambil tahu hal rumah tangga mereka, tetapi kita mengambil
tahu masalah-masalah yang dihadapi oleh jiran dan cuba membantu mereka
supaya dapat meringankan beban yang ditanggung oleh jiran. Hal ini demikian
kerana, dalam kehidupan berkeluarga, setiap keluarga pasti akan menghadapi
masalah dan masalah itu hanya boleh diatasi atau dikurangkan dengan
bantuan orang lain. Misalnya, ketika ketua keluarga sakit tenat, maka
ahli-ahli keluarga itu memerlukan bantuan daripada jiran untuk menghantar ketua
keluarga itu ke hospital, memberitahu keluarganya yang tinggal berjauhan
daripada mereka, mendapatkan bantuan nasihat ataupun kewangan dan sebagainya.
Sikap keprihatinan yang ditunjukkan oleh ibu bapa terhadap jiran, akan
menyebabkan anak-anak juga turut mengambil berat tentang jiran mereka.
Tegasnya, ibu bapa yang berjaya menjadi suri teladan yang baik, sudah pasti
mampu memupuk semangat kejiranan dalam kalangan masyarakat.
Di samping itu,
ibu bapa juga mestilah mengadakan atau menghadiri majlis-majlis rumah terbuka
sempena sesuatu sambutan perayaan. Amalan mulia ini bukan sahaja dapat
mengeratkan hubungan silaturahim, tetapi juga mampu mengukuhkan semangat
kejiranan dalam kalangan masyarakat. Melalui majlis rumah terbuka, ibu bapa
boleh membawa anak-anak bersama. Dalam majlis tersebut, masyarakat dapat
berkumpul dan mengenali antara satu sama lain dengan lebih dekat. Mereka juga
berpeluang untuk berkongsi pendapat tentang sesuatu perkara dan bertanya khabar
sambil menikmati juadah yang disediakan oleh tuan rumah. Dengan itu, masyarakat
akan lebih memahami adat resam, agama dan budaya masing-masing di negara
ini. Sebagai contoh, majlis-majlis rumah terbuka sempena sambutan Hari
Raya Aildilfitri, Tahun Baru Cina, Hari Krismas dan Hari Deepavali hendaklah
dijadikan acara tahunan. Kehadiran ibu bapa bersama ahli keluarga dalam majlis
rumah terbuka, bukan sahaja dapat memperkenalkan anak-anak mengenali lebih
dekat adat resam sesuatu budaya malah dapat menanamkan semangat
hormat-menghormati dalam diri anak-anak dan mengamalkan semangat perpaduan.
Tegasnya, majlis-majlis rumah terbuka mestilah diadakan setiap tahun agar mampu
mendekatkan ahli masyarakat untuk bertemu muka dan membentuk masyarakat yang
bersatu-padu.
Seterusnya, ibu bapa hendaklah menyemarakkan
budaya ziarah-menziarahi dalam kalangan masyarakat sebagai langkah untuk
memupuk dan meningkatkan semangat kejiranan dalam diri anak-anak. Dalam hidup
bermasyarakat, ibu bapa digalakkan membawa anak-anak-anak menziarahi
jiran tetangga pada masa-masa yang sesuai. Dengan menziarahi jiran,
kita akan mengetahui masalah dan kesusahan yang dihadapi oleh jiran kita. Semua
masalah boleh diselesaikan bersama dan hal ini akan menjadikan hidup mereka
lebih aman dan harmoni walaupun dalam keadaan yang serba kekurangan. Sebagai
contoh, ibu bapa boleh membawa anak-anak berkunjung ke hospital jika kita
mendapat tahu bahawa jiran kita telah dimasukkan ke hospitalkerana menghidap
sesuatu penyakit atau mendapat kemalangan. Amalan ini dapat membentuk sifat
kasih sayang dan sikap ambil berat serta membuang sejauh-jauh sikap
mementingkan diri sendiri dan hidup diibaratkan ‘ seperti enau di dalam
belukar, melepaskan pucuk masing-masing’. Walaupun pepatah Melayu ada
mengatakan bahawa ‘berat mata memandang, berat lagi bahu memikulnya’, namun
sebagai jiran, kita mestilah berpegang teguh pada prinsip “cubit peha kiri,
peha kanan terasa juga”. Jadi, melalui lawatan kita, sekurang-kurangnya kita dapat
meringankan penderitaan yang dialami oleh jiran kita dan secara tidak langsung,
mereka dapat hidup dengan lebih selesa, aman dan tenang. Anak-anak turut
mengambil berat tentang jiran yang ditimpa masalah sama seperti ibu bapa
mereka. Jelasnya, ibu bapa boleh menyemarakkan budaya kunjung-mengunjungi dalam
diri anak-anak untuk memupuk semangat kejiranan.
Akhir sekali,
ibu bapa bolehlah menggalakkan anak-anak supaya melibatkan diri dalam aktiviti
sosial seperti Hari Keluarga. Setiap komuniti, sering mengadakan aktiviti Hari
Keluarga untuk mengukuhkan hubungan dalam kalangan masyarakat setempat.
Aktiviti kerap diadakan sama ada di padang, taman rekreasi atau di tepi pantai.
Ibu bapa boleh membawa anak-anak bersama dan setiap ahli keluarga boleh menyertai
permainan yang disediakan. Selain itu, ibu bapa boleh mendedahkan kepada
anak-anak tentang kepentingan hidup berpersatuan dalam masyarakat setempat yang
mempunyai satu sistem organisasi yang teratur. Persatuan atau pertubuhan ini
hendaklah melibatkan semua penduduk tempatan sebagai ahli. Dewasa ini, banyak
pertubuhan sukarela ditubuhkan dalam masyarakat seperti Pertubuhan Rukun
Tetangga , Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung, Pertubuhan Khairat
Kematian dan sebagainya. Sebagai contoh, melalui Pertubuhan Rakan Tetangga,
masyarakat setempat secara bergilir-gilir mengawasi keselamatan kawasan tempat
tinggal atau taman untuk mengelakkan berlakunya kejadian-kejadian yang tidak
diingini seperti membunuh, merogol, merompak dan sebagainya. Hal ini dapat kita
lihat dalam peribahasa Melayu, iaitu ibarat aur dengan tebing yang mementingkan
semangat sandar-menyandar atau saling membantu antara satu sama lain dalam
kehidupan. Jelasnya, ibu bapa berperanan penting untuk menggalakkan anak-anak
supaya melibatkan diri dalam aktiviti sosial sebagai langkah untuk memupuk
semangat kejiranan.
Berdasarkan perbincangan di atas, dapat saya
simpulkan bahawa semangat kejiranan dalam setiap individu amat penting untuk
melahirkan masyarakat yang prihatin dan mmmembentuk perpaduan kaum.
Walau apa pun keadaan dan di mana-mana pun kita tinggal, kita perlulah
mempunyai jiran yang baik hati, iaitu jiran yang menjadi tempat untuk memohon
bantuan ketika kita dalam keadaan yang susah dan sentiasa menghulurkan bantuan
dengan senang hati dan menghiburkan ketika kita senang. Jadi, untuk mempunyai
jiran yang baik, maka kita perlu menjadikan diri kita sebagai jiran yang baik
kepada jiran kita. Sekiranya kita berbaik-baik dengan jiran, maka jiran juga
akan berbaik-baik dengan kita. Cogan kata “ Jiran Sepakat Membawa Berkat” perlu
terus diamalkan dalam kehidupan kita sehari-hari. Jangan kita berasa susah
dalam usaha mengamalkan budaya murni ini. Amalkan dengan hati yang ikhlas,
barulah kita memperoleh keberkatan dalam kehidupan. Oleh itu, dengan
meningkatkan semangat kejiranan, perpaduan kaum akan bertambah utuh dan teguh.
Jadi, dalam setiap masa, kita mestilah sentiasa berusaha untuk memastikan
semangat kejiranan sentiasa terpelihara supaya negara kita sentiasa aman,
harmoni dan sejahtera. Allah berfirman yang maksudnya, “Wahai manusia,
sesungguhnya Kami menciptakan kamu daripada seorang lelaki dan seorang
perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu
kenal-mengenali”.
elok elok je
ReplyDeleteelok2 mcm ne tu ?
Delete