Karangan Bahan Rangsangan
Jiran ialah sekelompok masyarakat setempat yang tinggal berhampiran antara satu dengan lain. Jiran diibaratkan sebagai saudara kandung tempat kita mengadu tatkala berada dalam kesusahan atau hendak mengadakan majlis keramaian. Jiran yang baik ibarat cubit paha kiri peha kanan pun terasa amat sukar ditemui.
Semangat kejiranan wajar dipupuk kerana melaluinya kita dapat mewujudkan masyarakat yang bersatu padu. Hal ini dapat dilaksanakan melalui budaya ziarah-menziarahi semasa perayaan besar seperti Sambutan Hari Raya, Tahun Baharu Cina atau Deepavali. Selain itu, kita juga boleh berkunjung ke rumah jiran ketika mereka mendapat musibah atau sakit. Kunjungan kita ke rumah jiran mungkin dapat melegakan penderitaan yang mereka alami dan secara tidak langsung mengeratkan hubungan silaturahim.
Semangat kejiranan juga berupaya mewujudkan masyarakat yang prihatin. Hal ini boleh terjadi seandainya jiran tetangga saling mengambil berat antara satu dengan lain. Hubungan yang terjalin akan memudahkan kita untuk meminta bantuan ketika dalam kesusahan. Selain itu, kita juga boleh mengharapkan jiran memerhatikan rumah kita semasa kita pulang ke kampung atau pergi melancong. Pada masa yang lain mungkin kita pula akan dipinta oleh mereka untuk berbuat perkara yang serupa.
Semangat kejiranan yang dipupuk juga memudahkan tugas yang besar dilaksanakan secara bergotong-royong. Apabila hubungan sesama jiran sudah menjadi akrab sesuatu tugas yang berat dan besar seperti membersihkan kawasan kampung atau perumahan dapat dilaksanakan secara bersama-sama tanpa sebarang masalah. Oleh itu, tugas yang berat menjadi mudah laksana hati kuman sama dicecah hati gajah sama dilapah. Lantas suasana yang harmoni dapat dibentuk dalam masyarakat.
Kesimpulannya, semangat kejiranan wajar dipupuk dalam masyarakat kita agar masyarakat dapat hidup dalam keadaan harmoni. Sekiranya hal ini dapat dilakukan maka akan tercapailah cita-cita negara untuk membentuk masyarakat yang bersatu padu dan penyayang.
Rekayasa: Harum Awang- GC & Munsyi Dewan DBP
No comments:
Post a Comment
Komen benda elok2 je. ^^