Amalan gaya
hidup sihat adalah cara hidup yang boleh mengurangkan risiko penyakit jantung
pada masa hadapan. Namun demikian, ribuan rakyat Malaysia mempunyai berat badan
berlebihan, tidak aktif dan terlalu banyak menghisap rokok. Ribuan rakyat
Malaysia mengamalkan cara hidup yang tidak sihat sejak kecil lagi seperti
menggemari makanan yang mengandungi kolesterol, tidak melakukan senaman dan
makan secara berlebihan. Oleh itu, untuk mengurangkan risiko penyakit berbahaya
seperti sakit jantung, obesiti, darah tinggi, kencing manis dan sebagainya,
rakyat Malaysia perlulah mengamalkan gaya hidup sihat. Secara umumnya,
tanggungjawab ini sudah semestinya jatuh pada bahu ibu bapa yang melahirkan
anak-anak serta menjaga mereka sejak kecil lagi. Persoalannya, apakah peranan
ibu bapa dan keluarga untuk memupuk amalan gaya hidup sihat dalam kalangan
anak-anak mereka?
Peranan utama
ibu bapa dalam memupuk amalan gaya hidup sihat dalam kalangan anak-anak mereka
adalah dengan memastikan anak-anak mengamalkan pemakanan yang seimbang.
Pemakanan yang seimbang adalah pemakanan yang mengandungi ketujuh-tujuh kelas
makanan dalam kadar yang bersesuaian iaitu karbohidrat, protein, vitamin,
mineral, lemak, air serta serat. Ibu bapa perlulah sentiasa menghidangkan
makanan yang berzat serta bernutrisi kepada anak-anak. Selain itu, ibu bapa
juga digalakkan untuk makan di rumah kerana makanan di luar, khususnya
gerai-gerai makanan di sepanjang jalan yang makanannya biasa digoreng dengan
penuh minyak. Jika tabiat yang baik ditanam dalam diri anak-anak, sudah pasti
anak-anak akan tahu menjaga pemakanan mereka apabila dewasa kelak. Ibu bapa
juga perlu mengurangkan pengambilan minuman berkarbonat oleh anak-anak kerana
minuman sebegini tidak memberikan apa-apa kebaikan dan mengandungi kandungan
gula yang berlebihan. Anak-anak perlulah diajar untuk minum air kosong atau jus
buah-buahan yang asli. Jelasnya, ibu bapa perlulah memastikan anak-anak
mengamalkan pemakanan seimbang dalam memupuk amalan gaya hidup sihat.
Selain itu, ibu bapa juga boleh melakukan
aktiviti bersenam dan beriadah bersama anak-anak. Perbuatan
ini bukan sahaja akan menyihatkan badan, malah hubungan antara ibu bapa dengan
anak-anak akan menjadi lebih erat. Aktiviti bersenam mampu mengekalkan gaya
hidup sihat kerana peluh-peluh yang keluar sewaktu melakukan senaman akan
keluar bersama-sama toksin badan. Kesannya, anak-anak mampu membina tahap
imunisasi yang tinggi terhadap serangan penyakit. Aktiviti senaman perlulah
dilakukan sekurang-kurannya 20 minit sehari dan tiga kali seminggu.
Antara aktiviti yang boleh dilakukan ialah senamrobik, berjoging, berbasikal,
berenang serta mendaki bukit. Disebabkan ramai golongan ibu bapa yang bekerja,
senaman ini boleh dilakukan pada awal pagi ataupun pada waktu petang selepas
ibu bapa pulang dari kerja. Apabila seseorang itu bersenam dan beriadah, mreka
dapat meningkatkan kesihatan diri dari aspek fizikal dan mental bak kata
pepatah, badan cergas otak cerdas. Tegasnya, ibu bapa perlulah melakukan aktiviti
senaman dan riadah bersama anak-anak supaya amalan gaya hidup sihat dapat
dipupuk.
Di samping itu,
ibu bapa juga perlulah membawa anak-anak membuat pemeriksaan kesihatan secara
berkala untuk memupuk amalan gaya hidup sihat. Ibu bapa digalakkan untuk membawa
anak-anak menjalani pemeriksaan kesihatan sekurang-kurangnya enam bulan sekali
ataupun dua kali setahun. Pemeriksaan kesihatan adalah penting kerana mampu
mengesan sesuatu penyakit ketika masih di peringkat awal dan memudahkan pesakit
menjalani rawatan dengan teknologi moden kini. Bak kata pepatah, mencegah lebih
baik daripada mengubati. Dengan ini, ibu bapa dapat mengenali tubuh badan
anak-anak mereka dengan lebih baik dan mampu menentukan pilihan yang terbaik
untuk anak-anak mereka. Jika ibu bapa mendapati anak-anak mereka tidak sihat,
ibu bapa perlulah segala membawa mereka berjumpa dengan doktor untuk
mendapat ubat serta pengesahan tentang penyakit yang dihidapi. Bukan itu
sahaja, ibu bapa perlulah memastikan anak-anak mematuhi nasihat doktor dan mengambil
ubat pada masa yang ditetapkan. Jelasnya, pemeriksaan kesihatan secara berkala
oleh anak-anak akan memupuk amalan gaya hidup sihat.
Ibu bapa juga perlu mengajar dan melatih
anak-anak mereka mengutamakan kebersihan diri pada setiap masa bagi memastikan
mereka terhindar daripada sebarang penyakit. Keperluan asas seperti menggosok
gigi, mandi, berpakaian bersih, waktu tidur dan rehat yang cukup juga perlu
dijadikan amalan hidup seharian. Bagi mengelakkan jangkitan kuman atau
penyakit, mereka juga perlulah mengamalkan budaya mendisiplinkan diri dengan
asas-asas kebersihan seperti mencuci tangan dengan bersih sebelum makan,
menutup makanan dengan baik agar tidak dihinggapi lalat mahupun memilih
gerai atau tempat makan yang bersih semasa menjamu selera. Sikap sambil lewa
ibu bapa dalam menitik beratkan aspek berkenaan mungkin boleh membawa padah.
Oleh itu, amalan sebegini harus dilentur sejak dari rebung dalam diri
anak-anak agar dapat membentuk gaya hidup yang sihat apabila mereka
dewasa kelak.
Gaya hidup yang sihat juga melibatkan
aspek psikologi dan sosial seseorang itu. Mereka yang lebih terbuka dan
bersedia untuk berkongsi masalah dengan orang lain didapati lebih bermakna
kehidupannya berbanding dengan individu yang suka bersendirian atau menyimpan
masalah mereka. Sikap berkawan dan menghabiskan masa bersama-sama mereka
menjadikan keperluan psikologi manusia dipenuhi dengan efektif. Ibu bapa
digalakkan menjalin hubungan komunikasi yang mesra bersama-sama anak-anak
atau jiran tetangga. Hubungan baik yang berkekalan biasanya dapat melahirkan
satu bentuk kehidupan yang ceria dan menggembirakan. Sesungguhnya, aspek
psikologi dan sosial manusia perlu dipenuhi bagi memperoleh gaya hidup yang
sihat ini Peranan ibu bapa mengamalkan cara berkomunikasi berkesan
dengan ahli keluarga, rakan-rakan dan jiran tetangga serta mengamalkan
ibadat mengikut agama masing-masing akan memberi impak psikologi yang positif.
Pada masa yang sama sikap atau mentaliti positif penting
untuk dimiliki oleh seseorang itu bagi menangani tekanan kehidupan dalam era
moden ini. Pemikiran yang positif menjadikan seseorang itu mampu menyelesaikan
pelbagai kemelut yang melanda kehidupannya dengan baik tanpa tertekan.
Kehidupan zaman moden yang penuh cabaran terutama tekanan di pejabat, kekangan
di tempat kerja memerlukan satu persepsi positif daripada ahli masyarakat kita.
Para ibu bapa perlu bijak menghadapi tekanan hidup, mereka mungkin boleh
mendapatkan bantuan daripada pakar motivasi ataupun rakan-taulan di sekeliling
mereka. Hal ini perlu kerana tekanan yang dialami boleh menjuruskan ibu
bapa pada perlakuan negatif seperti mendera, menagih dadah atau melakukan
sesuatu perkara di luar jangkaan. Jadi, semakin positif minda ibu bapa
itu maka semakin tinggilah gaya hidup sihat yang mampu dicapai oleh dirinya dan
keluarga kelak. Penguasaan diri yang baik dan pesanan yang sering
meransang anak-anak ke arah positif menangani cabaran merupakan asuhan yang
amat dicontohi oleh anak-anak sehingga mereka dewasa.
Akhir sekali,
bagi menjalani amalan gaya hidup sihat, ibu bapa perlu memastikan agar
anak-anak mendapat rehat dan tidur yang secukupnya. Tubuh badan anak-anak juga
perlu direhatkan dengan kadar yang diperlukan untuk mengecas semula organ-organ
dalam badan mereka. Bagi anak-anak yang telah mencapai usia remaja, mereka
memerlukan sekurang-kurangnya lapan jam sehari untuk tidur dengan selesa.
Namun, ramai anak-anak muda pada masa ini yang lebih suka tidur selepas tengah
malam walaupun keesokan merupakan hari persekolahan. Kesannya, mereka tidak
akan berasa cergas dan badan akan lesu dan tidak bermaya. Malahan, pelajaran
anak-anak juga diganggu dan lama-kelamaan prestasi mereka dalam peperiksaan
semakin merosot. Salah satu langkah yang boleh diambil oleh ibu bapa adalah
menetapkan satu masa yang spesifik untuk anak-anak masuk tidur dan mestilah
dipatuhi dengan sepenuhnya. Tegasnya, untuk memupuk amalan gaya hidup sihat,
ibu bapa perlu memastikan anak-anak mendapat rehat yang secukupnya.
Berdasarkan perbincangan di atas, dapatlah
disimpulkan bahawa ibu bapa memainkan peranan yang besar untuk memupuk amalan
gaya hidup sihat dalam kalangan anak-anak. Amalan ini adalah penting untuk
dilaksanakan agar kesihatan rakyat dalam negara ini sentiasa dalam keadaan yang
baik. Oleh itu, langkah-langkah di atas perlulah diamalkan oleh anak-anak yang
menjadi pemimpin generasi akan datang bak kata pepatah pemuda harapan bangsa,
pemudi tiang negara. Semua rakyat Malaysia haruslah mengamalkan gaya hidup
sihat supaya penyakit seperti kencing manis, obesiti, darah tinggi, sakit
jantung dan sebagainya dapat dikurangkan dalam jangka masa yang panjang ini.
Jelasnya, jika hal-hal yang dinyatakan di atas itu kita laksanakan, sudah pasti
kita memiliki ciri-ciri manusia yang berjaya bak kata pepatah hendak seribu
daya, tidak hendak seribu dalih.
No comments:
Post a Comment
Komen benda elok2 je. ^^