Sunday, November 30, 2014

SPM Karangan Cemerlang : Faedah-Faedah Kewujudan Pasar Tani


Karangan Bahan Rangsangan : Faedah-Faedah Kewujudan Pasar Tani


Perniagaan secara kelompok di kawasan yang lapang dengan kemudahan tempat menjual, tempat letak kereta dan kebersihan yang dijaga sudah menjadi trend masa kini. Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) telah menjadikan cara perniagaan seperti ini untuk memasarkan hasil pertanian para petani kepada pengguna tanpa melalui orang tengah. Kewujudan pasar tani juga mengelakkan sesuatu barang itu dijual oleh peniaga yang sama. Sejauh manakah kewujudan pasar tani dapat menyumbang ke arah peningkatan ekonomi? Pasar tani terbukti telah mendatangkan pelbagai manfaat kepada pelbagai pihak.



Kewujudan pasar tani dapat memberi peluang kepada masyarakat menceburi bidang perniagaan. Menerusi pasar tani, satu kawasan yang berpotensi untuk dikunjungi orang ramai telah dipilih, biasanya di kawasan perumahan. Iklan akan ditawarkan untuk memberi peluang masyarakat menyertai bidang perniagaan. Barang-barang yang boleh dijual  biasanya sayur-sayuran, buah-buahan, ikan, daging dan kuih-muih. Setiap peniaga dihadkan jenis barang yang dijual untuk mengelakkan sesuatu barang itu dijual oleh peniaga yang sama.  Mereka yang baru berjinak-jinak dalambidang pertanian atau perniagaan berpeluang memulakan langkah untuk memasarkan hasil titik peluh mereka. Jelaslah bahawa pasar tani mampu menyediakan peluang kepada orang ramai untuk menceburi bidang perniagaan kerana menurut mantan Perdana Menteri Malaysia, pertanian itu adalah perniagaan.


Selain itu, pengguna dapat membeli barangan berkualiti yang dijual dengan harga yang berpatutan.  Kebiasaannya, pasar tani diadakan pada waktu pagi ataupun waktu petang dan berlanjutan hingga malam.  Barangan yang dijual di pasar tani lebih berkualiti, segar dan bermutu tinggi kerana dibawa terus dari ladang. Harga barangan lebih murah berbanding di kedai runcit biasa.  Hal ini berlaku kerana kakitangan FAMA akan memantau mutu barangan dan harga yang dijual oleh peniaga.  Tuntasnya, dengan membeli-belah di pasar tani, pengguna dapat menyahut seruan kerajaan untuk menjayakan kempen berjimat-cermat ketika kegawatan ekonomi dan kenaikan harga barangan.

Pasar tani juga dapat menjadi medan untuk masyarakat Malaysia menjalinkan perpaduan kaum. Lazimnya, peniaga pasar tani terdiri daripada pelbagai kaum. Selain dapat membantu meningkatkan ekonomi rakyat Malaysia yang berbilang kaum, pertemuan dan kerjasama yang wujud ketika berniaga di pasar tani dapat menjalinkan kemesraan dan kerjasama erat antara kaum.  Perpaduan kaum sangat penting kerana bersatu teguh bercerai roboh. Pengunjung atau pengguna yang berbilang kaum dapat bertemu dan beramah mesra ketika urus niaga kerana pada waktu lain masing-masing sibuk dengan urusan sendiri. Terbuktilah bahawa kewujudan pasar tani di kawasan perumahan berupaya menjalinkan perpaduan antara kaum.

Kesimpulannya,  kewujudan pasar tani oleh FAMA dapat membuka peluang perniagaan, mewujudkan perpaduan dan pengguna mendapat barangan yang berkualiti. Usaha tangga kejayaan, inisiatif berterusan pihak kerajaan untuk memajukan pasar tani pasti akan meningkatkan perekonomian negara. Oleh itu, pihak kerajaan perlulah memperbanyak tapak perniagaan pasar tani di seantero negara. Diharapkan pasar tani akan terus menjadi pemangkin kemajuan bidang perniagaan dan berupaya memajukan sektor pertanian negara. Sesungguhnya, pertanian adalah satu perniagaan.

 Rekayasa: Harum Awang- GC & Munsyi Dewan DBP

2 comments:

Komen benda elok2 je. ^^