Search This Blog

Sunday, November 30, 2014

SPM Karangan Cemerlang : Faktor-Faktor Menggalakkan Pelancongan dtg ke Negara ini

Karangan Bahan Rangsangan : Faktor-Faktor Menggalakkan Pelancongan dtg ke Negara ini

Pada alaf ini sektor pelancongan memainkan peranan penting dari sudut ekonomi negara kita. Pada tiap-tiap tahun, dianggarkan jumlah pelancong yang berkunjung ke negara kita adalah melebihi 6 juta orang. Kebanyakan pelancong adalah terdiri daripada pelancong asing seperti pelancong Singapura, Amerika Syarikat, Jepun dan sebagainya selain daripada pelancong tempatan. Terdapat pelbagai faktor yang telah menggalakkan kedatangan mereka ke negara kita.


            Faktor utama pelancong berkunjung ke Malaysia adalah disebabkan negara kita mempunyai pelbagai tempat menarik. Malaysia banyak memiliki kawasan rekreasi yang sesuai untuk dikunjungi oleh para pelancong antaranya ialah kawasan pantai yang bersih, cantik dan berpasir putih seperti yang terdapat di pantai Desaru, pantai Cahaya Bulan dan sebagainya. Hal ini menggalakkan pelancong bertumpu di kawasan tersebut untuk mandi-manda sambil menikmati keindahan alam. Jelaslah bahawa keindahan negara ini mampu menggamit kehadiran pelancong ke negara bertuah ini.

Selain itu, Malaysia juga mempunyai banyak tempat menarik untuk di kunjungi oleh pelancong. Para pelancong dapat menikmati bangunan-bangunan tinggi mencakar langit atau bangunan bersejarah yang sentiasa terpelihara. Di ibu kota Kuala Lumpur umpamanya terdapat bangunan canggih iaitu bangunan KLCC yang sentiasa menjadi daya tarikan pelancong. Hal ini telah menyebabkan jumlah pelancong ke negara kita sentiasa bertambah.

            Pada masa yang sama, kedatangan pelancong ke negara kita adalah disebabkan oleh kepelbagaian jenis budaya yang terdapat di Malaysia. Memandangkan Malaysia mempunyai masyarakat majmuk, pelbagai jenis makanan terdapat di sini. Pelancong dapat menikmati makanan kaum Melayu seperti sate, ketupat dan rendang mahupun makanan kaum India seperti tosei dan maruku. Mereka juga boleh menikmati tarian pelbagai kaum seperti tarian zapin dan tarian inang bagi kaum Melayu dan tarian singa daripada kaum Cina. Tuntasnya, keunikan budaya ini telah menggalakkan kunjungan pelancong ke negara kita.

            Di samping itu, kemudahan pengangkutan awam turut menggalakkan kemajuan dalam sektor pelancongan negara. Kerajaan telah membina jalan raya untuk menghubungkan kawasan pelancongan agar dapat dikunjungi dengan mudah. Kerajaan juga meningkatkan kekerapan penerbangan ke negara-negara lain untuk menarik lebih ramai pelancong berkunjung ke Malaysia. Hal ini terbukti berkesan apabila jumlah pelancong yang berkunjung ke Malaysia sentiasa bertambah dari setahun ke setahun.


             Faktor lain yang menggalakkan pelancong berkunjung ke Malaysia ialah terdapatnya kemudahan membeli-belah yang disediakan untuk para pelancong. Dengan wujudnya kemudahan ini, mereka dapat berbelanja atau mendapatkan cenderamata untuk dibawa pulang ke negara mereka. Barang-barang yang terdapat di situ juga dijual dengan harga yang berpatutan. Hal ini menggalakkan pelancong untuk terus berkunjung ke negara kita.



             Intihanya, sektor pelancongan di Malaysia semakin meningkat maju kerana disebabkan oleh pelbagai faktor. Justeru, rakyat jelata perlulah sentiasa menunjukkan sikap mesra pelancong dan bersopan-santun bagi menggalakkan kehadiran mereka ke negara kita.

Rekayasa: Harum Awang- GC & Munsyi Dewan DBP

2 comments:

Komen benda elok2 je. ^^