Jelaskan usaha-usaha
yang boleh anda lakukan bagi memartabatkan permainan tradisional di
negara kita.
Kesimpulannya, remaja hendaklah berusaha mempopularkan permainan tradisional agar permainan tersebut terus terpelihara dan mendapat tempat di hati masyarakat Malaysia umumnya dan generasi muda khususnya. Maka golongan muda perlu berganding bahu dan meminta bantuan golongan yang lebih tua agar permainan tradisional terus dimartabatkan dan diketengahkan dalam pelbagai situasi dan aktiviti. Kedua-dua golongan boleh saling bekerjasama sebelum nasi menjadi bubur. Khazanah ini perlu dipelihara dan dikekalkan di negara ini dengan menggunakan pelbagai pendekatan sesuai dengan peribahasa di mana ada kemahuan, di situ ada jalan.
Usaha pertama yang saya lakukan untuk memartabatkan permainan tradisional
adalah dengan memupuk minat diri sendiri terhadap permainan tradisional.
Remaja pada masa ini banyak terdedah dengan pelbagai pengaruh modenisasi
dan perubahan. Mereka sering menganggap permainan tradisional telah lapuk dan
ketinggalan zaman. Oleh itu, sebagai generasi muda, saya harus sedar
bahawa saya berperanan memartabatkan permainan tradisional. Hal ini
boleh dilakukan atas kesedaran diri sendiri untuk mencari pelbagai informasi
berkaitan dengan permainan tradisional. Saya akan mengakses maklumat tentang
permainan tradisional agar dapat memahami dengan lebih jelas setiap permainan
tradisional yang ada di negara kita. Terdapat banyak laman web yang
memberikan pelbagai maklumat berkenan pelbagai permainan tradisional berserta
gambarnya sekali. Secara tidak langsung, wujud kesedaran dalam diri sendiri
untuk memartabatkan permainan tradisional di negara ini bagi menyaingi
permainan moden yang semakin popular dalam kalangan remaja.
Selain itu, usaha yang boleh saya lakukan adalah dengan menjadikan
permainan tradisional sebagai pengisi masa lapang. Hal ini boleh dilakukan
dengan rakan-rakan sebaya pada waktu petang atau pada masa cuti sekolah bagi
menggantikan permainan moden. Saya boleh meminta tunjuk ajar daripada golongan
yang lebih tua tentang cara-cara permainan tradisional tersebut bagi
membolehkan saya dan rakan-rakan memainkannya bersama rakan-rakan. Inisiatif
ini bukan sahaja dapat memartabatkan permainan tradisional malah dapat memupuk
semangat setia kawan dan kerjasama sesama rakan. Hal ini juga boleh mengelakkan
diri saya sebagai remaja daripada terjebak dengan pelbagai gejala negatif
akibat daripada pengaruh rakan-rakan dan persekitaran yang tidak baik. Bagi
diri saya lebih baik mengisi masa dengan bermain permainan tradisional
daripada melakukan perkara-perkara yang tidak berfaedah. Jelaslah permainan
tradisional mendatangkan banyak kebaikan kepada generasi muda masa ini.
Di samping itu, bagi memartabatkan permainan tradisional, saya sebagai
pelajar sekolah haruslah berani mengesyorkan kepada guru-guru di sekolah agar
permainan tradisional menjadi salah satu aktiviti semasa perjumpaan
kokurikulum. Saya akan menulis surat kepada pihak sekolah menerusi persatuan
agar memasukkan permainan tradisional menjadi sebahagian daripada aktiviti
kokurikulum di sekolah. Hal ini secara tidak langsung akan memperkenalkan
permainan tradisional kepada semua pelajar. Saya juga akan
menyertai permainan tradisional yang dipertandingkan di peringkat sekolah
semasa aktiviti kokurikulum dan juga persatuan akademik. Antara aktiviti yang
boleh dilakukan ialah pertandingan membuat wau, pertandingan bermain congkaka
dan demonstrasi permainan daripada golongan tua yang lebih berpengalaman bagi
menarik minat pelajar. Dengan cara tersebut, minat remaja terhadap permainan
tradisional dapat dipupuk agar kepelbagaian permainan tradisional dapat
dipelihara. Ibarat kata pepatah, tak kenal maka tak cinta amat bertepatan
kerana jika pelajar telah mula diperkenalkan dengan pelbagai permainan
tradisional, sudah pastilah minat terhadapnya akan tertanam secara semula jadi.
Maka para pelajar perlu berani membuat perubahan ke arah memartabatkan
permainan tradisional.
Usaha yang seterusnya ialah saya sebagai remaja perlu menanamkan semangat cinta
akan budaya terutama permainan tradisional. Hal ini adalah kerana,
permainan tradisional merupakan budaya masyarakat Malaysia sejak dahulu dan
perlu diteruskan dan dipelihara agar dikenali oleh generasi akan datang.
Sesuatu yang baik itu perlu dipupuk dan ditanam dalam diri sejak kecil sesuai
dengan peribahasa, melentur buluh biarlah dari rebungnya. Jika asasnya telah
kukuh maka secara langsung remaja masa ini tidak akan segan silu mempertahankan
dan memartabatkan permainan tradisional. Alah bisa tegal biasa kerana sesuatu
yang sukar pada awalnya akan menjadi mudah dan biasa jika selalu dilakukan dan
diamalkan. Begitulah juga yang diharapkan terhadap permainan tradisional. Jika
remaja seperti saya telah mula menanamkan sikap sayang dan cinta akan budaya
masyarakat ini, maka sudah pasti permainan tradisional terpelihara megah dalam
kalangan masyarakat Malaysia. Sesungguhnya kecintaan terhadap permainan
tradisional akan memupuk juga rasa cinta terhadap negara.
Rekayasa: Harum Awang- GC & Munsyi Dewan DBP
No comments:
Post a Comment
Komen benda elok2 je. ^^