Bincangkan
langkah-langkah yang perlu diambil oleh pelbagai pihak untuk menarik minat
orang ramai membaca karya
sastera
Pada zaman
berteknologi tinggi ini, orang ramai telah memilih untuk memiliki sebuah
komputer untuk mendapatkan maklumat daripada internet berbanding mencari
maklumat atau membaca daripada buku. Hal ini menyebabkan minat untuk membaca
karya-karya sastera dalam kalangan rakyat makin berkurangan. Malah ada yang
telah lupa dan tidak kenal akan karya sastera yang dihasilkan oleh sasterawan
negara seperti Usman Awang, Shahnon Ahmad, A.Samad Said dan sebagainya. Hal ini
tidak boleh dipandang remeh kerana karya sastera yang dihasilkan merupakan
warisan bangsa yang menunjukkan identiti dan bangsa kita. Minat untuk membaca
karya-karya sastera ini perlu disemarakkan semula dalam kalangan masyarakat.
Persoalannya, apakah langkah-langkah yang perlu diambil oleh pelbagai pihak
untuk menarik minat orang ramai untuk membaca karya sastera?
Langkah-langkah yang perlu diambil oleh pelbagai pihak untuk menarik minat
orang ramai membaca karya sastera termasuklah peranan pihak sekolah khususnya
Pusat Sumber Sekolah. Pusat Sumber Sekolah perlu memperbanyak buku sastera dan
karya agung seperti novel ‘Ranjau Sepanjang Jalan’ oleh Shahnon Ahmad, ‘Salina’
oleh A.Samad Said, ‘Saudagar Besar Dari Kuala Lumpur’ oleh Kamaludin Muhamad
dan ‘Tulang-tulang Berserakan’ oleh Usman Awang agar murid mahupun guru berpeluang
untuk membacanya. Pusat sumber boleh mengadakan pertandingan mengulas novel,
sajak, puisi dan pantun pada setiap bulan. Langkah ini membolehkan para
pelajar untuk membaca karya-karya sastera memandangkan mereka ingin
menghasilkan ulasan yang menarik. Secara tidak langsung, minat pelajar terhadap
karya sastera akan semakin bertambah. Pihak sekolah turut boleh menggalakkan
setiap kelas menyediakan satu ruang atau sudut membaca di kelas bagi
memudahkan pelajar untuk menghayati karya sastera ketika guru tiada di dalam
kelas. Tegasnya, pihak sekolah memainkan peranan yang penting dalam menarik
minat pembaca terhadap karya sastera.
Selain itu, peranan ibu bapa juga amat penting dalam mengambil langkah untuk
menarik minat anak-anak membaca karya sastera. Ibu bapa haruslah memberikan
pendedahan tentang karya sastera kepada anak-anak sejak kecil lagi bak kata
pepatah melentur buluh biarlah dari rebungnya. Contohnya, ibu bapa boleh
membaca sastera ralyat kepada anak-anak sebelum mereka masuk tidur Melalui cara
ini, hubungan silaturahim antara ibu bapa dengan anak bukan sahaja dapat
dipereratkan, malah anak-anak dapat mengetahui cara hidup dan budaya masyarakat
kita sendiri. Selain itu, ibu bapa bolehlah membelikan karya sastera untuk
dibaca oleh anak-anak supaya mereka dapat menghayati keindahan hasil warisan
bangsa selain dapat mengisi masa lapang dengan berfaedah. Ibu bapa boleh
menghadiahkan novel yang sesuai kepada anak-anak mengikut umur mereka.
Ibu bapa juga perlu pilih bahan bacaan yang hendak dibeli untuk anak-anak
sewaktu membawa mereka berkunjung ke kedai buku mahupun pameran buku.
Seterusnya, ibu bapa harus menyediakan sebuah perpustakaan mini yang dilengkapi
dengan pelbagai bahan bacaan khususnya karya-karya sastera seperti prosa atau
puisi tradisional dan moden yang dihasilkan oleh pengarang tersohor di
rumah. Dengan itu, minat anak-anak untuk membaca karya sastera dapat dipupuk
dan disemai dalam jiwa mereka.
Di samping itu,
media massa turut memainkan peranan yang penting dalam mengambil langkah
menarik minat semua lapisan masyarakat membaca karya sastera. Sebagai
contohnya, pihak media boleh mempromosikan karya sastera kepada masyarakat
melalui radio, televisyen dan surat khabar. Melalui cara ini, lapisan
masyarakat dapat mengetahui cara untuk mendapatkan karya sastera di pasaran.
Bukan itu sahaja, pihak media juga boleh menyiarkan sudut sastera atau ulasan
karya sastera yang agung di akhbar dan majalah kepada orang ramai. Dengan itu,
orang ramai berpeluang untuk mengenali karya sastera di negara kita dengan
lebih mendalam. Tambahan pula, pihak media turut boleh menganjurkan peraduan
teka teki atau menulis sajak dan syair yang bertemakan karya-karya sastera.
Jelasnya, pihak media haruslah mengambil langkah untuk menarik perhatian orang
ramai untuk membaca karya sastera.
Seterusnya, pihak kerajaan haruslah mengadakan pameran karya sastera dan kempen
menghayati karya sastera di seluruh pelusuk negara. Melalui langkah ini, rakyat
berpeluang untuk mengenali karya-karya sastera ini dengan lebih dekat. Tambahan
pula, pihak kerajaan boleh membina perpustakaan rakyat di setiap daerah bagi
memudahkan rakyat untuk membaca ataupun meminjam karya-karya sastera untuk
dibaca. Pihak kerajaan turut boleh mengambil inisiatif untuk mengurangkan kadar
cukai penerbitan karya sastera. Langkah ini dapat menurunkan harga buku
tersebut agar semua rakyat khususnya golongan berpendapatan rendah berpeluang
untuk memiliki karya-karya sastera itu sendiri. Oleh itu, jelaslah bahawa pihak
kerajaan turut memainkan watak yang utama dalam mengambil langkah untuk menarik
minat orang ramai membaca karya sastera.
Akhir sekali, pihak-pihak NGO seperti syarikat penerbitan harus menerbitkan
lebih banyak karya sastera supaya karya tersebut mudah didapati di pasaran.
Pihak penerbit boleh bekerjasama dengan penulis untuk mengeluarkan
berbagai-bagai genre sastera. Penerbit juga perlu memberikan bayaran
setimpal dan berpatutan kepada penulis. Persatuan Karya-karya Sastera boleh
ditubuhkan untuk melindungi karya-karya penulis supaya tidak dplagiat oleh
pihak tertentu yang bermotifkan keuntungan dan bagi membolehkan para
peminat berkongsi pendapat bersama dengan penulis. Kerajaan juga boleh
meningkatkan jumlah penerbitan karya sastera dalam setahun dan bekerjasama dengan
seberapa ramai penulis dan penerbit untuk menghasilkan karya sastera yang
bermutu.
Berdasarkan perbincangan di atas, dapat disimpulkan bahawa semua pihak
menggalas tanggungjawab yang berat dalam usaha untuk menghidupkan minat orang
ramai membaca karya sastera. Masyarakat pula harus bersikap berhati
terbuka supaya langkah-langkah tersebut mendapat sambutan yang hangat dan
seterusnya berjaya direalisasikan. Kita selaku warga Malaysia haruslah
mencintai dan menghayati karya sastera kita kerana ia merupakan warisan bangsa
dan mencerminkan identiti kita.
Rekayasa: Harum Awang- GC & Munsyi Dewan DBP
No comments:
Post a Comment
Komen benda elok2 je. ^^