Bincangkan usaha-usaha yang wajar
dilakukan oleh ibu bapa untuk memastikan harapan mereka itu tercapai.
Anak-anak yang sihat
serta memperlihatkan kecemerlangan diri merupakan idaman setiap ibu bapa. Dalam
hal ini, ibu bapa bertanggungjawab penuh untuk merealisasikan hal tersebut.
Setiap ibu bapa mengharapkan anak-anaknya menjadi insan yang berguna kepada
agama, bangsa dan negara. Mereka perlu berusaha untuk merealisasikan impian itu
dengan mengaplikasikan kemahiran keibubapaan ke tahap yang paling optimum. Jika
hal ini dipraktikkan, harapan untuk memiliki anak-anak yang berguna akan dapat
direalisasikan. Persoalannya,apakah usaha-usaha yang wajar dilakukan oleh ibu
bapa untuk memastikan harapan mereka tercapai?
Usaha paling asas yang wajar dilakukan oleh ibu bapa untuk memastikan anak-anak
mereka menjadi insan yang berguna ialah mewujudkan suasana kekeluargaan yang
saling berkasih sayang. Ibu bapa haruslah memahami bahawa anak-anak memerlukan
perhatian dan kasih sayang mereka. bu bapa boleh mencurahkan kasih sayang sama
ada berbentuk luahan kata dan perbuatan yang secukup kepada anak-anak agar
anak-anak berasa diri mereka diambil berat dan tidak diabaikan oleh ibu bapa.
Misalnya, ibu bapa haruslah memberikan pujian kepada anak-anak sama ada dengan
cara memberikan hadiah ataupun dengan mengucapkan kata-kata positif apabila
anak-anak mendapat keputusan yang cemerlang. Hal ini penting kerana sepatah
kata yang positif daripada ibu bapa dapat menyuntik semangat dan memberikan
dorongan serta motivasi kepada anak-anak untuk terus berusaha mencapai kejayaan
kerana pepatah menyatakan rajin dan usaha, tangga kejayaan.Kajian menunjukkan
bahawa punca kebanyakan anak menjadi sampah masyarakat adalah kerana keadaan
rumah tangga yang porak-peranda di samping sikap ibu bapa yang materialistik
dan mementingkan kerjaya .Sebagai contohnya,banyak ibu bapa yang menyerahkan
tanggungjawab mendidik anak-anak kepada pembantu rumah sepenuhnya. Hal ini
menyebabkan anak-anak berasa tersisih dan diabaikan lalu melakukan
perkara-perkara negatif. Tegasnya,anak-anak akan menjadi insan yang berguna
kepada keluarga, masyarakat, agama, dan negara jika keluarga yang saling
berkasih sayang dan mengambil berat dapat diwujudkan.
Selain itu,untuk memastikan anak-anak menjadi insan yang berguna juga, ibu bapa
perlu menyediakan kediaman yang menepati konsep “Rumahku Syurgaku” demi
keselesaan anak-anak. Ibu bapa perlulah mewujudkan rumah tangga yang aman dan
damai supaya anak-anak berasa tenang ketika berada di rumah. Setiap ibu bapa
perlulah mengelakkan pertelingkahan di hadapan anak-anak. Ibu bapa hendaklah
mengucapkan kata-kata yang lemah-lembut agar anak-anak mendengar segala arahan
dan nasihat daripada ibu bapa. Bagi mewujudkan keselesaan dalam rumah tangga,
ibu bapa perlulah menyediakan kemudahan yang lengkap untuk ahli keluarganya
seperti bilik tidur yang mencukupi, bilik untuk anak-anak belajar dan bilik
untuk anak-anak menonton televisyen atau bermain komputer. Sudah terbukti
bahawa anak-anak yang tinggal di kediaman yang kurang selesa cenderung untuk
melepak dan sesetengahnya tidak pulang ke rumah. Amalanmelepak ini mendedahkan anak-anak
kepada pelbagai bentuk gejala negatif seperti merokok, menagih dadah dan
sebagainya. Hal ini banyak berlaku di bandar-bandar besar, khususnya di
kawasan-kawasan setinggan. Oleh hal yang demikian ,ibu bapa perlu menyediakan
kediaman yang selesa untuk anak-anak mereka sekiranya mereka menginginkan
anak-anak mereka menjadi insan yang berguna dan menyayangi keluarganya.
Di samping itu, untuk memastikan anak-anak menjadi insan yang berguna, setiap
ibu bapa haruslah memberikan didikan agama yang sempurna kepada anak-anak sejak
mereka kecil lagi kerana pepatah menyatakan bahawa kalau hendak melentur buluh
biarlah dari rebungnya dan asas pendidikan bermula dari rumah.. Didikan agama
yang sempurna dapat membentuk akhlak dan pekerti mulia kepada anak-anak di
samping membantu mereka mengetahui batas hidup yang betul. Penerapan nilai
agama dapat membantu anak-anak untuk membezakan baik atau buruk sesuatu
perkara dan anak-anak membesar dengan berpandukan ajaran agama. Sebagai contoh,
jika keluarga tersebut berasal dari keluarga yang baik, kebiasaannya
keturunannya akan baik. Jika ibu bapa mempunyai pegangan didikan agama yang
kuat, anak-anak mereka juga akan mempunyai tingkah laku yang baik kerana madu
satu tong dirembes, rembesnya madu juga, dan bagaimana acuan begitulah kuihnya.
Dengan kesempurnaan didikan agama, anak-anak dapat mengawal diri daripada
melakukan maksiat seperti meragut, berfoya-foya dan sebagainya.Tegasnya,
didikan agama yang sempurna dapat merealisasikan impian ibu bapa untuk memiliki
anak-anak yang berguna.
Seterusnya, untuk memastikan anak-anak menjadi insan yang berguna, ibu bapa
mestilah menjadi suri teladan yang terbaik kepada anak-anak, bak kata pepatah
bagaimana acuan begitulah kuihnya. Ibu bapa janganlah menjadi seperti “ketam
mengajar anaknya berjalan betul”. Ibu bapa meminta anak-anak menunjukkan contoh
terbaik sedangkan mereka tidak menunjukkan contoh yang baik kepada anak-anak.
Gaya mendidik anak-anak seperti ini tidak akan berkesan. Peribahasa Melayu
“bapa borek anak rintik” sudah jelas membuktikan bahawa segala tindak tanduk
ibu bapa akan menjadikan ikutan anak-anak, kerana anak-anak biasanya meniru
tingkah laku dan percakapan ibu bapa. Anak-anak yang membesar di bawah didikan ibu
bapa yang berjaya menjadi suri teladan yang baik akan menjadi insan yang baik
dan bertanggungjawab. Oleh itu, ,ibu bapa haruslah sentiasa menjaga tingkah
laku dan mengelakkan penggunaan bahasa yang kasar dalam kehidupan sehari-hari.
Hal ini demikian kerana keperibadian ibu bapa menjadi penentu tingkah laku
anak-anak pada masa hadapan. Jelasnya, ibu bapa harus menjadi contoh teladan
yang baik agar anak-anaknya turut menjadi insan yang baik dan berguna.
Tambahan lagi, ibu bapa perlulah bersedia untuk menerima sebarang teguran
daripada orang lain berkaitan dengan tingkah laku anak-anak mereka dengan hati
terbuka. Sebagai ibu bapa yang bertanggungjawab dan ingin membentuk anak mereka
menjadi insan yang berguna, ibu bapa tidak sepatutnya menyebelahi anak-anak
mereka apabila orang lain memberi teguran. Hal ini demikian kerana teguran yang
diberi itu bukanlah untuk memburuk-burukkan anak mereka tetapi untuk
membetulkan kesilapan yang telah dilakukan oleh anak mereka. Dalam konteks ini,
falsafah “menjaga tepi kain orang lain” dalam masyarakat adalah untuk
kebaikan bersama dan ibu bapa perlulah menerimanya secara positif. Berdasarkan
teguran yang diberikan, ibu bapa perlulah segera membetulkan kesilapan anak dan
mencari punca anak mereka berbuat kesilapan sedemikian rupa agar anak mereka
tidak mengulangi kesilapan yang sama. Jadi, untuk membentuk anak menjadi insan
yang berguna, ibu bapa perlu menerima kritikan dan teguran orang lain dengan
hati yang terbuka. Peribahasa “sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak
berguna” atau “sudah terhantuk baru terngadah”
sewajarnya menjadi panduan kepada ibu bapa.
Akhir sekali, ibu bapa perlu sentiasa mengikuti perkembangan pendidikan
anak-anak sama ada dalam aspek kurikulum, kokurikulum dan sahsiah anak-anak.
Sikap prihatin dan ambil berat ibu bapa menyebabkan anak-anak berasa diri
mereka diutamakan. Untuk tidak mengecewakan ibu bapa, anak-anak akan berusaha
meningkatkan kecemerlangan sama ada dalam aspek kurikulum ataupun kokurikulum.
Hubungan ibu bapa dengan guru-guru sekolah juga memberikan impak kepada tahap
sahsiah anak-anak. Sebagai contoh, ibu bapa perlu menjalinkan hubungan yang
baik dengan guru di sekolah sama ada guru disiplin, guru kelas atau guru mata
pelajaran. Ibu bapa perlu sering berkunjung ke sekolah untuk mengikuti
perkembangan kemajuan anak-anak dalam bidang pelajaran dan berbincang dengan
guru disiplin sekolah berkaitan akhlak dan sikap anak-anak di sekolah. Selain
itu, ibu bapa juga perlu mengawasi tingkah laku anak-anak di luar rumah serta
mengenali rakan-rakan mereka. Ibu bapa juga perlulah bertanya kepada anak
sebab-sebab anak-anak keluar rumah atau pulang lewat. Tuntasnya, ibu
bapa perlu memantau perkembangan pendidikan dan sahsiah anak-anak agar mereka
jadi insan yang berguna apabila dewasa kelak.
Berdasarkan berbincangan di atas, dapatlah disimpulkan bahawa usaha untuk
membentuk anak-anak menjadi insan yang berguna memerlukan pengorbanan dan
kesabaran ibu bapa. Untuk mendidik anak-anak menjadi seorang insan yang berguna
bukanlah satu tugas yang mudah. Semua ini perlu dilakukan melalui proses
pendidikan sedikit demi sedikit dan dengan penuh kesabaran. Oleh itu,
perancangan yang teliti dan sistematik perlu dilakukan oleh ibu bapa secara
istiqomah untuk mendidik anak-anak menjadi insan yang berguna. Setiap ibu bapa juga mengharapkan anak mereka
dapat memberikan sumbangan kepada masyarakat dan negara serta mempertahankan
maruah keluarga. Tegasnya, tiada ibu bapa yang mahu melihat anak-anak mereka
jadi sampah masyarakat yang bukan sahaja tidak memberikan sebarang
sumbangan kepada masyarakat dan negara malah membawa masalah serta menjatuhkan
keluarga kita.
Rekayasa: Harum Awang- GC & Munsyi Dewan DBP
No comments:
Post a Comment
Komen benda elok2 je. ^^