Pusat Sumber sekolah merupakan gedung ilmu iaitu tempat untuk mendapatkan
pelbagai informasi yang diperlukan oleh setiap warga sekolah. Namun, sejak
akhir-akhir ini isu para pelajar kurang mengunjungi pusat sumber sekolah sering
diperkatakan dalam media massa sama ada media cetak atau media elektronik. Hal
ini membimbangkan semua pihak kerana para pelajar merupakan pelapis yang bakal
menerajui negara pada masa hadapan, bak kata peribahasa pemuda harapan bangsa,
pemudi tiang negara. Oleh itu, pusat sumber sekolah perlu diurus secara
sistematik dan efisien untuk memupuk budaya membaca dalam kalangan pelajar agar
menjadi pelajar yang berilmu dan bermaklumat selaras dengan Falsafah Pendidikan
Negara. Persoalannya, apakah usaha-usaha untuk membantu meningkatkan penggunaan
pusat sumber sekolah?
Selaku pengawas pusat sumber sekolah, terdapat banyak usaha yang dapat saya
lakukan untuk membantu meningkatkan penggunaan pusat sumber di sekolah saya.
Salah satunya ialah saya akan memastikan pusat sumber sentiasa berada dalam
keadaan kemas dan menarik. Saya akan bekerjasama dengan pengawas pusat sumber
yang lain untuk mengemas kini pusat sumber. Aktiviti gotong-royong membersihkan
pusat sumber akan diadakan secara berkala agar pusat sumber sentiasa
berada dalam keadaan bersih . Saya juga akan memastikan buku-buku disusun atur
dengan kemas di atas rak-rak buku mengikut kategori dan jenis buku.
Dengan ini keadaan harmoni dan selesa dapat diwujudkan. Situasi ini dapat
memberi keselesaan kepada seseorang pelajar semasa mengulang kaji pelajaran di
pusat sumber. Jelaslah, situasi yang kemas, bersih dan menarik mampu menarik para
pelajar berkunjung ke pusat sumber.
Selain itu, saya akan membantu guru pusat sumber melaksanakan program Nilam
untuk meningkatkan penggunaan pusat sumber sekolah. Sebagai contohnya, saya
boleh membantu mencari dan menyediakan buku-buku yang sesuai serta menarik
untuk kegunaan para pelajar semasa program Nilam. Oleh itu, program Nilam dapat
dijalankan dengan lancar dan berkesan. Hal ini dapat membantu meningkatkan
penggunaan pusat sumber sekolah dan juga menyemai budaya membaca dalam kalangan
pelajar. Program Nilam merupakan salah satu usaha Kementerian Pendidikan
Malaysia untuk memupuk dan meningkatkan amalan membaca dalam kalangan pelajar.
Budaya membaca amat penting dan melambangkan ketinggian tamadun sesuatu bangsa.
Dengan membaca, seseorang itu akan mendapat pelbagai ilmu pengetahuan sebagai
pedoman hidup, bak kata peribahasa membaca jambatan ilmu. Justeru, pelaksanaan
program Nilam yang berkesan menjadi daya penarik kepada para pelajar untuk
mengunjungi pusat sumber.
Seterusnya, saya akan mengesyorkan kepada pihak sekolah agar menyediakan
kemudahan yang lengkap di pusat sumber. Saya akan menulis surat kepada pihak
pengurusan agar dapat menyediakan kemudahan yang lengkap di pusat sumber untuk
kebaikan pelajar. Saya akan meminta pihak pengurusan menyediakan komputer
yang boleh diguna pakai oleh pelajar untuk melayari Internet bagi mendapatkan
pelbagai informasi terkini.Saya akan membantu dari segi penyediaan
buku-buku yang baharu dan menarik. Dengan adanya pelbagai buku yang baharu dan
terkini, pengunjung dapat meningkatkan ilmu pengetahuan mereka. Pihak sekolah
juga perlu menyediakan pendingin hawa untuk memberi keselesaan kepada para
pelajar. Secara tidak langsung keadaan ini lebih mewujudkan suasana yang
kondusif dan menggalakkan para pelajar berkunjung ke pusat sumber sekolah.
Di samping itu, sebagai pengawas pusat sumber juga, saya akan mengamalkan
budaya mesra pelanggan semasa menjalankan tugas. Saya akan bersikap sopan,
berbudi pekerti mulia dan berhemah tinggi serta sentiasa bersedia memberikan
pertolongan sekiranya pengunjung menghadapi masalah tanpa mengira bangsa dan
agama , bak kata peribahasa budi bahasa budaya kita. Layanan mesra
daripada pengawas menggembirakan para pengunjung dan merupakan
salah satu kunci untuk menarik para pelajar mengunjungi pusat sumber. Saya juga
akan membantu pihak sekolah mempromosikan buku-buku di pusat sumber agar dapat
dipinjam oleh pelajar. Saya juga perlu bersikap adil dan tegas kepada semua
pelanggan terutama sekiranya mereka lewat atau sengaja tidak memulangkan
buku yang dipinjam mengikut tarikh yang ditetapkan.
Selaku pengawas pusat sumber juga, saya akan mencadangkan kepada pihak sekolah
agar menyediakan sistem pinjaman buku yang sistematik dan berkesan untuk
membantu meningkatkan penggunaan pusat sumber sekolah saya. Contohnya
penggunaan ICT khususnya komputer dalam urusan pinjaman dan pemulangan buku
dapat menjimatkan masa dan tenaga. Penggunaan sistem berkod merupakan langkah
bijak kerana semua bahan bacaan berbentuk buku akan direkodkan secara berkod
yang memudahkan urusan pinjaman dan pemulangan buku yang dilakukan secara ‘
scaning’. Kaedah ini akan mewujudkan sistem pengurusan pusat sumber yang
sistematik kerana para pelajar tidak perlu menunggu terlalu lama untuk urusan
pinjaman dan pemulangan buku. Jelaslah sistem pinjaman yang sistematik dan
efektif adalah penting untuk meningkatkan penggunaan pusat sumber
sekolah.
Kesimpulannya, pusat sumber sekolah menyediakan perkhidmatan dan sumber pembelajaran
dalam pelbagai bentuk bagi membolehkan warga sekolah menjadi pengguna yang
bermaklumat dan pemikir yang kreatif serta kritis. Justeru, terpulang
pada pelajar sendiri sama ada mahu menggunakan atau sebaliknya, tepuk
dada tanyalah minda. Semua pihak
perlulah berganding bahu dalam usaha meningkatkan penggunaan pusat sumber
sekolah bak kata peribahasa bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana
muafakat.
Very nice
ReplyDelete