Huraikan langkah-langkah yang dapat
diambil oleh ibu bapa terhadap anak-anak dalam menggalakkan penggunaan barangan
buatan Malaysia.
Peranan yang amat penting yang perlu diamalkan oleh setiap ibu bapa
ialah ibu bapa perlulah menjadi role model kepada anak-anak mereka kerana
anak-anak akan sentiasa mengikuti jejak langkah kedua-dua ibu bapa mereka.
Pepatah ada mengatakan bahawa bagaimana acuan, begitulah kuihnya. Ibu bapa
merupakan insan yang paling dikagumi kerana ibu bapalah orang yang
terdekat dengan anak-anak. Anak-anak diibaratkan seperti sebutir permata yang
belum digilap, ibu bapa yang akan mencanai dan menggilapnya sehingga menjadi
berlian yang indah dan bersinar. Walau bagaimanapun, ibu bapa janganlah
bersikap seperti ketam mengajar anaknya berjalan dengan betul kerana ini akan
menyebabkan anak-anak hilang rasa kagum dan kepercayaan kepada ibu bapa mereka.
Ibu bapa haruslah membeli kereta buatan Malaysia seperti kereta dari kilang
Proton Edar, barangan elektrik seperti Panasonic, Philips dan lain-lain.
Tegasnya, ibu bapa haruslah menjadi suri teladan kepada anak-anak mereka dengan
menyokong barangan buatan Malaysia yang berkualiti ini.
Selain itu, ibu bapa perlulah memupuk perasaan cinta akan negara kepada
anak-anak mereka sejak kecil lagi kerana melentur buluh biarlah dari rebungnya.
Hal ini terjadi demikian kerana semangat patriotik patut diterapkan ke dalam
sanubari remaja supaya mereka terpanggil untuk membeli barangan Malaysia
sebagai tanggungjawab mereka. Ibu bapa juga boleh menanam minat anak-anak
terhadap barangan Malaysia melalui mata pelajaran Bahasa Malaysia, Pendidikan
Moral dan Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan. Hal ini akan dapat menyuntik
nilai cinta akan negara, taat setia kepada raja dan negara, dan sanggup
berkorban untuk negara kepada generasi muda kita. Ibu bapa patut menyeru
anak-anak untuk mencontohi warganegara Jepun dan Korea kerana rakyat mereka
berasa bangga untuk membeli barangan negara mereka sendiri. Misalnya, dalam
filem atau drama Korea, semua artis pasti menggunakan produk negara sendiri
seperti jenama Samsung, LG dan Panasonic. Dengan menyahut seruan Tun Dr.
Mahathir yang merupakan Perdana Menteri Malaysia yang keempat malalui Dasar
Pandang Ke Timur, kita digalakkan mencontohi sifat baik negara lain yang baik
untuk meningkatkan taraf kehidupan negara ke alaf baru. Jika anak-anak telah
diterapkan semangat cinta akan negara dan ingin membeli barangan Malaysia,
amalan ini akan terbawa-bawa hingga mereka dewasa. Tidak dapat dinafikan bahawa
golongan remaja merupakan golongan pengguna yang banyak berbelanja. Golongan
remaja juga merupakan harapan negara kita. Hal ini kerana pemuda harapan
bangsa, pemudi tiang negara. Jika mereka suka membeli produk jenama Malaysia,
produk Malaysia pasti akan laris di pasaran.
Di samping itu, peranan yang boleh diamalkan oleh ibu bapa ialah ibu bapa
membawa anak-anak ke pameran barangan ciptaan Malaysia. Contohnya, ibu bapa
bolehlah membawa anak-anak ke Karnival Membeli-belah Malaysia yang dianjurkan
oleh Kementerian Pelancongan Malaysia dengan premis perniagaan seluruh negara.
Karnival sebegini telah ditetapkan hanya barangan Malaysia yang mempunyai
tawaran potongan harga yang istimewa. Sebagai contoh, kraf tangan
dan batik, yang merupakan budaya yang menggambarkan tradisi
Malaysia. Ibu bapa perlu mendedahkan anak-anak dengan pelbagai barangan
tempatan yang terdiri daripada pelbagai bentuk dan keunikannya yang tersendiri.
Apabila anak-anak meminta sesuatu benda yang tidak keterlaluan, ibu bapa
haruslah membeli barang tersebut dan barang tersebut mestilah merupakan
barangan buatan Malaysia. Terdapat juga pameran yang mengadakan pelbagai jenis pertandingan.
Dalam konteks ini, ibu bapa boleh menggalakkan anak-anak menyertai
pertandingan-pertandingan seperti menulis esei, melukis poster dan menjawab
soalan-soalan kuiz yang berkaitan. Hal ini secara tidak langsung dapat
mencelikkan minda anak-anak supaya mengetahui kualiti dan kelebihan barangan
Malaysia sehingga berminat untuk membeli barangan Malaysia, seperti peribahasa,
tak kenal maka tak cinta. Tegasnya, ibu bapa perlulah membeli barangan buatan
Malaysia untuk didedahkan kepada anak-anak generasi baru ini.
Seterusnya, ibu bapa perlulah menerangkan kebaikan pembelian barangan buatan
Malaysia kepada anak-anak mereka supaya mereka dapat memahami faedah-faedahnya,
menyokong dan menggunakan barangan buatan Malaysia. Ibu bapa haruslah memberitahu
anak-anak tentang kualiti produk-produk Malaysia yang kini bukan sahaja
kualitinya setanding dengan produk-produk luar negara, malah harganya juga
cukup murah untuk dimiliki seseorang. Ibu bapa juga boleh menunjukkan
kempen-kempen yang telah diadakan seperti Kempen Beli Barangan Malaysia kepada
anak-anak untuk memastikan anak-anak sedar dan mengetahui secara mendalam
barangan-barangan Malaysia. Sikap prejudis,
memandang rendah barangan tempatan dari sudut pemikiran juga seharusnya
dilontar jauh-jauh oleh ibu bapa dan juga tidak harus diwujudkan pada anak-anak
mereka, tetapi, sebaliknya, membinakan semangat Malaysia
Boleh dari serba-serbi, termasuk soal
kualiti dan standard barangan tempatan. Jelasnya, ibu bapa berperanan
penting dalam menerangkan manfaat-manfaat barangan buatan Malaysia kepada
anak-anak supaya mereka sedar dan bijak memilih benda yang baik dan
mendatangkan kebaikan kepada mereka.
Berdasarkan perbincangan di atas, dapatlah disimpulkan bahawa ibu bapa yang
merupakan insan terdekat kepada generasi muda kini mestilah memainkan
peranannya yang amat penting dalam menggalakkan anak-anak menyokong, membeli
dan menggunakan barangan buatan Malaysia. Harapan kerajaan Malaysia supaya
negara kita bukan sahaja mengimport barangan luar negara malah juga mengeksport
barangan buatan Malaysia dapat dicapai. Sedarlah bahawa barangan Malaysia tidak sekadar lebih murah daripada barang buatan import
negara malah mempunyai kualiti dan kuantiti yang baik. Walalau
bagaimanapun, usaha daripada ibu bapa semata-mata adalah tidak mencukupi.
Rakyat Malaysia patut menghayati tema Hari Kebangsaan; 1Malaysia
Menjana Transformasi menyemarakkan semangat seisi negara agar seia sekata
sebagai satu bangsa yang ingin memperkasakan satu perubahan sikap dengan membeli
barangan Malaysia. Tegasnya, negara kita, tanggungjawab kita merupakan azimat
yang tersemat agar kita berbangga dengan barangan Malaysia yang bermutu tinggi.
Rekayasa: Harum Awang- GC & Munsyi Dewan DBP
No comments:
Post a Comment
Komen benda elok2 je. ^^