Ibu bapa memainkan peranan penting untuk menggalakkan anak-anak mereka membaca karya-karya ilmiah agar dapat melahirkan generasi yang cinta akan ilmu.
Nyatakan usaha-usaha yang boleh
diambil oleh ibu bapa untuk mencapai hasrat tersebut.
Pada era globalisasi ini, ibu bapa memainkan peranan penting untuk menggalakkan
anak-anak mereka membaca karya-karya ilmiah agar dapat melahirkan generasi yang
cinta akan ilmu pengetahuan. Hal ini demikian kerana anak-anak muda pada era
ini, lebih gemar membaca bahan-bahan bacaan yang ringan seperti surat
khabar, novel cinta, komik, majalah hiburan dan animasi kartun. Majalah
atau buku yang sarat dengan ilmu dan pengetahuan seperti buku-buku motivasi,
pembinaan kendiri, falsafah, Majalah Dewan Masyarakat, Solusi, Dewan Budaya, Al
Islam, dan Anis kurang diminati malah ada dalam kalangan mereka yang
tidak tahu akan kewujudan majalah tersebut di pasaran. Mereka berpendapat
bahawa membaca karya-karya ilmiah dianggap berat dan membosankan kerana
memerlukan minda untuk berfikir sedangkan majalah atau buku-buku yang
berunsurkan hiburan lebih seronok untuk dibaca kerana pembacaan bagi mereka
hanya sekadar mengisi ruang kosong dalam masa senggang sahaja. Apa pun yang
jelas, buku yang baik adalah kunci kepada khazanah kebijaksanaan. Ibu bapa
merupakan insan yang penting untuk melahirkan anak yang berilmu, bersahsiah
baik dan dihormati oleh orang lain. Persoalannya, apakah modus operandi yang
boleh diambil oleh ibu bapa untuk melahirkan generasi yang cinta akan ilmu
pengetahuan?
Untuk memupuk budaya membaca dalam diri anak-anak, ibu bapa haruslah membawa
anak-anak ke pesta buku atau pameran buku seperti Pameran Buku
Antarabangsa di PWTC yang diadakan pada setiap tahun. Hal ini dapat
melahirkan generasi yang cinta akan ilmu pengetahuan. Apabila ibu bapa membawa
anak-anak ke pameran buku, minat anak-anak untuk membaca buku akan bercambah.
Anak-anak akan dapat melihat pelbagai jenis buku yang menarik serta
menyeronokkan untuk dibaca. Mereka berpeluang untuk memilih buku-buku yang
disukai dan diminati. Dalam hal ini, peranan ibu bapa amat penting untuk
membimbing anak-anak agar dapat memilih buku yang berkualiti yang mampu membina
pemikiran atau minda anak-anak. Selain itu, anak-anak juga berpeluang untuk
membaca buku-buku yang berunsurkan keagamaan, falsafah, motivasi dan
sebagainya.. Hal ini secara tidak langsung, dapat meningkatkan ilmu pengetahuan
dalam diri anak-anak. Di samping itu, anak juga berpeluang untuk membaca
buku-buku yang memaparkan sejarah negara lain. Hal ini, dapat meningkatkan
pengetahuan am anak-anak tentang Negara luar.Tegasnya, usaha ibu bapa membawa
anak-anak mereka ke pameran buku merupakan salah satu langkah efektif yang melahirkan
minat anak-anak untuk membaca karya-karya ilmiah dan menjadi ulat buku
dan seterusnya menjadi generasi yang cinta akan ilmu pengetahuan.
Selain itu, ibu bapa harus menjadi suri teladan kepada anak-anak dalam
aspek membaca. Justeru, ibu bapa hendaklah memulakan budaya membaca di
rumah dengan menyediakan persekitaran yang boleh merangsang minat
anak-anak untuk membaca buku-buku ilmiah. Ibu bapa hendaklah membaca buku-buku
dan surat khabar pada setiap hari terutama pada waktu senggang. Perbuatan
ibu bapa yang suka membaca pasti akan dicontohi dan diikuti oleh anak-anak
keranapepatah menyatakan bagaimana
acuan begitulah kuihnya, ke mana tumpah kuah kalau tidak ke nasi. Pada zaman
ini, anak-anak tidak tahu untuk mengisi masa lapang dengan aktiviti-aktiviti
yang berfaedah Jadi, ibu bapa boleh mendidik anak anak sejak kecil lagi untuk
membaca buku-buku ilmiah. Bak kata pepatah, melentur buluh biarlah
dari rebungnya dan asas pendidikan bermula dari rumah. Ibu bapa
boleh melakukan aktiviti membaca dengan anak-anak pada hari cuti sewaktu semua
ahli keluarga berehat di rumah. Dalam hal ini, Ibu bapa janganlah menjadi
seperti ketam mengajar anaknya berjalan betul, sedangkan diri sendiri
tidak betul. Sekiranya, ibu bapa tidak pernah membaca bahan-bahan ilmiah,
bagaimanakah anak-anak hendak membaca bahan-bahan tersebut. Anak-anak akan suka
membaca apabila melihat orang tuanya membaca. Jelasnya, ibu bapa harus menjadi
suri teladan yang baik kepada anak-anak kerana anak-anak akan menjadikan
membaca sebagai satu amalan ke mana-mana sahaja mereka pergi bak kata pepatah kalau
asal benih yang baik jatuh ke laut menjadi pulau, terlontar ke udara
menjadi kejora, dicampak ke bumi menjadi penawar.
Di samping itu, Ibu bapa perlu menambahkan sumber bacaan dengan membeli banyak
buku atau majalah yang yang mengandungi ilmu pengetahuan yang boleh
mengembangkan minda anak-anak. Pepatah menyatakan bahawa membaca
jambatan ilmu. Apabila anak- anak banyak membaca, sudah tentu
pengetahuan mereka pun akan meningkat. Sebagai ibu bapa, mereka hendaklah
membeli bahan bacaan secara tetap pada setiap bulan seperti Majalah Dewan
Masyarakat, Dewan Pelajar, Dewan Siswa, Al Islam dan Solusi selain surat
khabar yang dibeli secara harian. Secara tidak langsung, anak-anak akan
tertarik untuk membaca buku-buku dan majalah yang mengandungi banyak ilmu dan
pengetahuan yang dibeli oleh ibu bapa mereka. Minat untuk membaca bahan-bahan
yang berkualiti pasti akan bercambah dalam jiwa mereka. Anak-anak yang
disuburkan dengan budaya membaca, pasti dapat membina jati diri unggul,
mempunyai minda sihat, berketerampilan sebagai orang berilmu dan berpengetahuan
tinggi. Selain itu, ibu bapa boleh memberikan hadiah berupa buku sempena hari
lahir atau hadiah sempena kejayaan anak-anak dalam pelajaran atau peperiksaan
sebagai ganjaran. Sebagai contohnya, ibu bapa boleh menghadiahkan buku-buku
motivasi sempena hari lahir anak. Hadiah tersebut dapat memotivasikan diri
anak-anak. Mereka akan belajar bersungguh-sungguh kerana menghargai jasa ibu
bapa. Amalan seperti ini akan menyebabkan anak-anak hidup dalam dunia buku.
Tak kenal maka tak cinta.
Seterusnya ibu bapa juga hendaklah menggalakkan
anak-anak membaca buku dengan cara mendaftar anak mereka menyertai kelab
buku. Melalui penyertaan dalam kelab buku, anak-anak akan menyertai
pelbagai aktiviti dan mengetahui perkembangan buku yang terkini. Sebagai
contohnya, anak-anak boleh menjadi ahli Kelab Buku Ilmiah yang ditubuhkan oleh
Dewan Bahasa dan Pustaka. Apabila anak-anak menjadi ahli
kelab buku, mereka didedahkan dengan pelbagai perkara yang berkaitan dengan
buku . Secara tidak langsung, anak-anak juga dapat membezakan bahan bacaan yang
bermutu dan bahan bacaan yang tidak berkualiti. Anak-anak pasti memilih
bahan-bahan yang berkualiti kerana boleh mematangkan minda seseorang dalam
mengeluarkan pendapat atau melakukan tindakan. Selain itu, ibu bapa juga
boleh menggalakkan anak-anak menyertai Kempen Galakan Membaca dan
Kembara Buku yang dianjurkan oleh pelbagai pihak. Dengan menghadiri
kempen-kempen membaca, anak-anak bukan sahaja mendapat kesedaran
tentang pentingnya membaca malah ibu bapa turut memperoleh manfaatnya.
Tegasnya, ibu bapa perlulah membawa anak-anak menghadiri kempen-kempen membaca
dan menggalakkan anak-anak menyertai ahli kelab buku agar anak-anak
membaca bahan-bahan ilmiah yang dapat membentuk anak-anak menjadi insan
yang mulia dan disanjung tinggi.
Selain itu, ibu bapa boleh membina perpustakaan mini yang mengandungi
bahan-bahan ilmiah yang menempatkan pelbagai jenis buku ilmiah
seperti novel karya agung, kamus, buku- buku agama, dan buku motivasi
diri selain buku pelajaran dan buku rujukan. Hal ini dapat menyuburkan
minat anak-anak untuk membaca buku-buku yang disimpan di rak buku
tersebut. Ibu bapa juga hendaklah memainkan peranan dan memastikan anak mereka
membaca buku-buku yang disediakan dalam perpustakaan mini di rumah.
Anak-anak juga digalakkan untuk membaca surat khabar atau
majalah ilmu pada setiap hari dan membaca sebuah buku pada setiap minggu.
Hal ini akan menyebabkan masa lapang anak-anak terisi dengan aktiviti membaca
tanpa perlu keluar rumah. Perpustakaan mini yang disediakan oleh ibu bapa tidak
memerlukan modal yang banyak. Buku-buku dan majalah yang dibeli pada setiap
bulan boleh disimpan dalam perpustakaan mini tersebut. Pembacaan buku dan
majalah yang berulang kali dapat menguatkan minda anak-anak. Pepatah menyatakan
bahawa bangsa yang membaca, bangsa yang berjaya. Apabila anak-anak sudah
biasa didedahkan untuk membaca surat khabar pada setiap hari dan sebuah
buku pada setiap minggu, anak-anak akan biasa berbuat demikian dan
menjadikan membaca sebagai amalan rutin harian kerana alah bisa, tegal
dek biasa. Mereka akan selalu membaca apabila ada masa terluang
dan mereka akan menghargai masa kerana masa itu emas. Tambahan pula,
jika ibu bapa mempunyai waktu terluang, mereka bolehlah membawa anak-anak ke
perpustakaan awam yang berhampiran dengan tempat tinggal mereka. Perpustakaan awam memuatkan berjuta-juta buku yang boleh meningkatkan ilmu
pengetahuan anak-anak. Malahan, apabila anak-anak pergi ke perpustakaan awam,
mereka dapat membaca buku dalam keadaan yang senyap, aman, damai dan tenang.
Jelasnya, usaha ibu bapa membawa anak-anak mereka ke perpustakaan awam dan
menyediakan perpustakaan mini di rumah dapat melahirkan generasi yang cinta
akan ilmu pengetahuan.
Tambahan lagi,
ibu bapa juga boleh memupuk minat membaca bahan-bahan ilmiah dengan membimbing
anak-anak mereka melayari internet. Internet merupakan sumber ilmu yang boleh
digunakan oleh semua lapisan masyarakat. Namun, terdapat remaja yang yang
menyalahgunakan internet seperti melihat gambar-gambar lucah. Dalam konteks
ini, ibu bapalah merupakan pembimbing kepada anak-anak mereka. Ibu bapa perlu
mendidik anak-anak melayari internet untuk mencari judul buku ilmiah yang
terkenal supaya boleh dibeli di kedai-kedai buku berhampiran. Hal ini dapat
menggalakkan anak-anak membaca karya-karya ilmiah supaya boleh melahirkan
generasi yang cinta akan ilmu pengetahuan. Ilmu yang diperoleh daripada
bahan-bahan ilmiah boleh dijadikan sebagai panduan hidup. Hal ini disebabkan
mesej-mesej yang terkandung dalam bahan bahan ilmiah penting dalam kehidupan.
Justeru, ibu bapa memainkan peranan yang penting dalam memupuk minat membaca
buku-buku ilmiah.
Berdasarkan perbincangan di atas, dapatlah saya simpulkan bahawa untuk
melahirkan generasi yang cinta akan ilmu pengetahuan, ibu bapalah yang
memainkan peranan penting menggalakkan anak-anak membaca bahan-bahan ilmiah. Ibu bapa harus menanamkan sikap suka membaca dalam kalangan
anak mereka kerana membaca akan menjadikan minda anak-anak mereka cerdas. Oleh
hal yang demikian, ibu bapa mestilah menjadi pendorong untuk menyemaikan
minat membaca dalam kalangan anak mereka. Jika anak-anak sudah jatuh
cinta dengan aktiviti membaca, kejayaan dalam bidang pelajaran akan
terbentang luas di depan mereka pada masa depan. Ibn Khaldun dalam
karya besarnya, Muqaddimah, pernah berkata bahawa kekuatan ilmu
bukan sahaja menjadi syarat dan pelengkap kepada kekuatan fizikal, malah
memberi arah dan makna kepada manusia
dan bangsa terbabit. Tegasnya, ibu bapa memainkan peranan yang penting dalam
melahirkan generasi yang cinta akan ilmu pengetahuan.
Rekayasa: Harum Awang- GC & Munsyi Dewan DBP
No comments:
Post a Comment
Komen benda elok2 je. ^^