Berikan pendapat anda tentang peranan keluarga dalam pembentukan sahsiah
anak-anak.
Profesor
Di raja Ungku Aziz pernah mengatakan bahawa rumah merupakan universiti
pertama bagi anak-anak dan ibu bapa pula merupakan profesor pertama bagi mereka
. Kata-kata ini jelas menunjukkan bahawa ibu bapa dan setiap ahli keluarga
memainkan peranan yang sangat penting dalam pembentukan sahsiah anak-anak .
Anak-anak merupakan anugerah dan amanah Tuhan yang tidak ternilai . Ibu bapa
bertanggungjawab untuk mewujudkan rumah tangga yang aman dan damai kerana
anak-anak akan berasa bahagia apabila ibu bapa memberikan sepenuh kasih sayang
dan melindungi diri anak-anak mereka. Anak-anak ibarat sehelai kain
putih , ibu bapalah yang mencorakkan warna pada kain tersebut.
Persoalannya , apakah peranan keluarga khususnya ibu bapa dalam pembentukan
sahsiah anak-anak ?
Ibu bapa
memainkan peranan penting bagi memastikan pembentukan sahsiah anak-anak dengan
memberikan didikan agama yang sempurna dalam diri anak-anak . Pepatah sering
menyatakan bahawa melentur buluh biarlah dari rebungnya . Peribahasa ini
jelas menunjukkan bahawa pendidikan agama perlu diterapkan dalam diri anak-anak
sejak kecil lagi agar anak-anak dapat membuka minda serta mengelakkan diri
daripada terjebak dalam perlakuan negatif . Penerapan nilai agama dapat
membantu anak-anak untuk membezakan antara baik dan buruk perlakuan yang akan
dilakukan . Selain itu , anak-anak juga akan membesar dengan perpandukan ajaran
agama. Didikan agama yang sempurna merupakan benteng yang ampuh untuk
mengelakkan anak-anak terjebak dalam kancah gejala sosial. Anak-anak yang
dibesarkan dalam keluarga yang mementingkan didikan agama akan menjadi anak
yang baik sahsiah dan akhlaknya . Sebagai contoh , jika sesebuah keluarga
mempunyai pegangan agama yang kuat, anak-anak mereka akan mempunyai tingkah laku
yang baik kerana madu satu tong dirembes, rembesnya madu juga. Jelaslah
bahawa pendidikan agama yang secukupnya sangat penting untuk membentuk sahsiah
anak-anak.
Selain
itu, ahli keluarga khususnya ibu bapa berperanan sebagai suri teladan kepada
anak-anak bagi memastikan anak-anak mempunyai sahsiah yang baik . Hal ini
demikian kerana anak-anak yang berusia setahun jagung memang mudah
mencontohi sebarang bentuk perlakuan orang yang lebih dewasa daripadanya.
Dengan erti kata lain, sekiranya ahli keluarga yang lebih tua memiliki sahsiah
yang baik, sudah tentu perbuatan ini dapat dicontohi oleh anak-anak
kerana pepatah Melayu ada mengatakan bahawa ke mana tumpahnya kuah kalau
tidak ke nasi . Sebagai contohnya , jika ahli keluarga yang lebih dewasa
rajin membaca , sudah pasti anak-anak yang terdidik dalam suasana demikian akan
mencontohi perbuatan ahli keluarga yang gemar membaca. Tokoh-tokoh
pujangga pernah menukilkan bahawa kalau asal benih yang baik jatuh ke
laut menjadi pulau , terlontar ke udara menjadi kejora, dicampak ke
bumi menjadi penawar. Pernyataan di atas jelas menunjukkan
betapa besarnya peranan yang dimainkan oleh sesebuah keluarga dalam pembentukan
sahsiah anak-anak . Ibu bapa perlulah menjadi suri teladan yang boleh dicontohi
anak-anak . Ibu bapalah yang akan mencorakkan kehidupan anak-anak di peringkat
awal. Sekiranya corak yang dilakar menarik dan cantik , maka akan baik dan
eloklah pembentukan akhlak anak-anak. Anak –anak yang sering mencontohi
perbuatan ibu bapa yang baik , tidak akan sesekali cuba melakukan sesuatu yang
boleh menconteng arang atau menjatuhkan maruah keluarga. Tegasnya, ibu
bapa memainkan peranan penting dalam pembentukan sahsiah anak-anak.
Seterusnya, ibu bapa perlulah mendidik anak-anak cara hidup sederhana dan
bertanggungjawab . Ibu bapa harus menyediakan jadual tugasan di rumah supaya
anak-anak lebih bertanggungjawab. Anak-anak perlu diajar tentang pengurusan
diri seperti membasuh baju, menggosok pakaian dan menyimpan baju dalam
almari . Anak-anak juga perlu diajar supaya bersifat sederhana dan bersyukur
dengan apa-apa sahaja yang ada di rumah mereka . Hal ini amat penting untuk
melahirkan anak-anak yang sentiasa bersyukur dengan apa yang dimiliki . Ibu
bapa juga perlu menerapkan nilai kesederhanaan diri anak-anak di rumah agar
anak-anak dapat menjadi insan yang sentiasa berjimat cermat dan tidak boros
dalam berbelanja . Anak-anak yang sudah diterapkan dengan hidup yang sederhana
akan membesar sebagai seorang yang sederhana sikapnya , tidak sombong dan tidak
berlebihan dalam sesuatu perkara. Anak-anak juga melakukan sesuatu dengan penuh
keikhlasan tanpa mengharapkan apa-apa balasan. Hal ini penting bagi melahirkan
generasi masa depan yang berpandangan jauh. Tegasnya , pembentukan
sahsiah anak-anak yang baik dapat dilahirkan sekiranya ibu bapa mendidik
anak-anak tentang cara hidup yang sederhana dan bertanggungjawab.
Akhir
sekali, ibu bapa perlulah memantau serta mengawasi gerak geri anak-anak
khususnya anak-anak yang sudah meningkat remaja. Dalam hal ini , ibu bapa perlu
mengetahui aktiviti yang dilakukan oleh anak-anak mereka serta mengetahui latar
belakang rakan sebaya anak-anak. Pergaulan anak-anak dengan rakan sebaya
memberikan pengaruh yang besar terhadap masa depan anak-anak kerana anak-anak
lebih mudah dipengaruhi oleh rakan sebaya dalam segala tindakan atau kelakuannya
kerana mereka mempunyai prinsip, nilai dan identiti yang hampir sama. Ibu bapa
tidak wajar memberi kebebasan yang sepenuhnya kepada anak-anak . Hal ini
demikian kerana anak-anak yang diberi kebebasan penuh oleh ibu bapa dibimbangi
akan terjebak dengan perbuatan tidak bermoral yang boleh menconteng arang di
muka keluarga . Oleh itu , ibu bapa perlulah mengenal pasti perubahan yang
berlaku terhadap anak-anak pada setiap masa agar ibu bapa boleh bertindak lebih
awal, bak kata pepatah , beringat sebelum kena , berjimat sebelum
habis. Ibu bapa perlulah mengambil berat dengan siapa anak mereka
berkawan atau bersahabat dan mengetahui tujuan anak keluar rumah dan balik
lewat ke rumah. Sekiranya ibu bapa bertindak awal , sudah pasti masa hadapan
anak-anak dapat diselamatkan. Jelasnya , ibu bapa perlulah memantau serta
mengawasi gerak-geri anak-anak agar dapat melahirkan anak yang berperibadi
mulia .
Rekayasa: Harum Awang- GC & Munsyi Dewan DBP