Sunday, November 30, 2014

SPM Karangan Cemerlang : Langkah-Langkah untuk Menangani Budaya Merokok


Karangan Bahan Rangsangan : Langkah-Langkah untuk Menangani Budaya Merokok


Amalan merokok boleh mendatangkan pelbagai masalah kesihatan (A1). Sejak belakangan ini budaya merokok dalam kalangan pelajar sekolah semakin serius (A2). Budaya negatif ini membimbangkan ibu bapa dan masyarakat kerana amalan ini akan menjejaskan kesihatan diri pelajar berkenaan dan membawa pelbagai kesan sosial sampingan (A3). Oleh itu, langkah-langkah yang efektif perlu diambil dengan segera untuk menangani budaya merokok dalam kalangan pelajar sekolah agar tidak menjadi barah masyarakat (A4).


            Langkah yang paling berkesan untuk menangani budaya merokok dalam kalangan pelajar ialah kesedaran diri pelajar terbabit (A1). Pelajar terbabit perlu disedarkan bahawa amalan merokok akan memudaratkan kesihatan diri mereka (A2). Pelajar yang terdedah kepada pengetahuan akan bahaya rokok akan mengelakkan diri daripada merokok (A3). Pelajar perlu sedar bahawa amalan merokok boleh mendedahkan diri mereka kepada penyakit barah paru-paru, pankreas, kanser mulut dan gusi dan lain-lain kesan sampingan terhadap kesihatan (A4). Jelaslah bahawa kesedaran diri untuk “tak nak” merokok amat berkesan untuk menangani budaya sia-sia yang mengundang malapetaka kepada diri sendiri ini (A5).

Langkah kedua untuk menangani budaya merokok dalam kalangan pelajar ialah melalui peranan ibu bapa (A1).  Ibu bapa dapat memantau aktiviti dan pergerakan anak-anak mereka untuk mengelakkan anak-anak mereka merokok (A2). Ibu bapa juga hendaklah mengelakkan diri daripada merokok kerana amalan ini akan dicontohi oleh anak-anak mereka seperti bapa borek anak rintik (A3).  Sebagai contoh, ibu bapa mestilah memastikan wang belanja yang diberikan kepada anak-anak digunakan untuk membeli makanan atau keperluan yang sepatutnya dan bukannya untuk membeli rokok (A4). Tegasnya, ibu bapa berperanan penting untuk mengawal dan mengelakkan anak-anak mereka daripada menjadi perokok (A5).

Pihak sekolah juga boleh memainkan peranan untuk mengelakkan pelajar daripada mengamalkan budaya merokok (A1). Sekolah sering mengadakan kempen kesedaran bahaya merokok dan ceramah serta pameran tentang bahaya rokok kepada pelajar (A2).  Pihak sekolah juga sentiasa mengenakan hukuman berat dan tindakan yang tegas sekiranya terdapat pelajar yang merokok (A3).  Sebagai contoh, pelajar yang ditangkap kerana merokok akan didenda atau diberikan rawatan lanjutan untuk menghentikan amalan berisiko tinggi kepada kesihatan ini (A4).  

Kesimpulannya, pihak sekolah bertanggungjawab memberikan pendedahan dan pendidikan kepada pelajar akan keburukan amalan merokok dan membendung pelajar daripada merokok (A5).
Konklusinya, kesedaran diri akan bahaya merokok, peranan ibu bapa dan peranan pihak sekolah amat berkesan dalam usaha membendung budaya merokok dalam kalangan pelajar (A1). Semua pihak mestilah berganding bahu bagai aur dengan tebing untuk menangani isu merokok dalam kalangan pelajar kerana pelajar hari ini aset negara yang sangat berharga untuk memajukan negara pada masa depan (A2).  Semoga hasrat negara untuk melahirkan remaja yang cergas dan berfikiran positif akan dapat direalisasikan sepenuhnya menjelang tahun 2020 (A3).  Jalanilah hidup sihat tanpa rokok dan katakan “tak nak” merokok (A4).


Rekayasa: Harum Awang- GC & Munsyi Dewan DBP

SPM Karangan Cemerlang : Faedah-Faedah Kewujudan Pasar Tani


Karangan Bahan Rangsangan : Faedah-Faedah Kewujudan Pasar Tani


Perniagaan secara kelompok di kawasan yang lapang dengan kemudahan tempat menjual, tempat letak kereta dan kebersihan yang dijaga sudah menjadi trend masa kini. Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) telah menjadikan cara perniagaan seperti ini untuk memasarkan hasil pertanian para petani kepada pengguna tanpa melalui orang tengah. Kewujudan pasar tani juga mengelakkan sesuatu barang itu dijual oleh peniaga yang sama. Sejauh manakah kewujudan pasar tani dapat menyumbang ke arah peningkatan ekonomi? Pasar tani terbukti telah mendatangkan pelbagai manfaat kepada pelbagai pihak.



Kewujudan pasar tani dapat memberi peluang kepada masyarakat menceburi bidang perniagaan. Menerusi pasar tani, satu kawasan yang berpotensi untuk dikunjungi orang ramai telah dipilih, biasanya di kawasan perumahan. Iklan akan ditawarkan untuk memberi peluang masyarakat menyertai bidang perniagaan. Barang-barang yang boleh dijual  biasanya sayur-sayuran, buah-buahan, ikan, daging dan kuih-muih. Setiap peniaga dihadkan jenis barang yang dijual untuk mengelakkan sesuatu barang itu dijual oleh peniaga yang sama.  Mereka yang baru berjinak-jinak dalambidang pertanian atau perniagaan berpeluang memulakan langkah untuk memasarkan hasil titik peluh mereka. Jelaslah bahawa pasar tani mampu menyediakan peluang kepada orang ramai untuk menceburi bidang perniagaan kerana menurut mantan Perdana Menteri Malaysia, pertanian itu adalah perniagaan.


Selain itu, pengguna dapat membeli barangan berkualiti yang dijual dengan harga yang berpatutan.  Kebiasaannya, pasar tani diadakan pada waktu pagi ataupun waktu petang dan berlanjutan hingga malam.  Barangan yang dijual di pasar tani lebih berkualiti, segar dan bermutu tinggi kerana dibawa terus dari ladang. Harga barangan lebih murah berbanding di kedai runcit biasa.  Hal ini berlaku kerana kakitangan FAMA akan memantau mutu barangan dan harga yang dijual oleh peniaga.  Tuntasnya, dengan membeli-belah di pasar tani, pengguna dapat menyahut seruan kerajaan untuk menjayakan kempen berjimat-cermat ketika kegawatan ekonomi dan kenaikan harga barangan.

Pasar tani juga dapat menjadi medan untuk masyarakat Malaysia menjalinkan perpaduan kaum. Lazimnya, peniaga pasar tani terdiri daripada pelbagai kaum. Selain dapat membantu meningkatkan ekonomi rakyat Malaysia yang berbilang kaum, pertemuan dan kerjasama yang wujud ketika berniaga di pasar tani dapat menjalinkan kemesraan dan kerjasama erat antara kaum.  Perpaduan kaum sangat penting kerana bersatu teguh bercerai roboh. Pengunjung atau pengguna yang berbilang kaum dapat bertemu dan beramah mesra ketika urus niaga kerana pada waktu lain masing-masing sibuk dengan urusan sendiri. Terbuktilah bahawa kewujudan pasar tani di kawasan perumahan berupaya menjalinkan perpaduan antara kaum.

Kesimpulannya,  kewujudan pasar tani oleh FAMA dapat membuka peluang perniagaan, mewujudkan perpaduan dan pengguna mendapat barangan yang berkualiti. Usaha tangga kejayaan, inisiatif berterusan pihak kerajaan untuk memajukan pasar tani pasti akan meningkatkan perekonomian negara. Oleh itu, pihak kerajaan perlulah memperbanyak tapak perniagaan pasar tani di seantero negara. Diharapkan pasar tani akan terus menjadi pemangkin kemajuan bidang perniagaan dan berupaya memajukan sektor pertanian negara. Sesungguhnya, pertanian adalah satu perniagaan.

 Rekayasa: Harum Awang- GC & Munsyi Dewan DBP

SPM Karangan Cemerlang : Faktor-Faktor Menggalakkan Pelancongan dtg ke Negara ini

Karangan Bahan Rangsangan : Faktor-Faktor Menggalakkan Pelancongan dtg ke Negara ini

Pada alaf ini sektor pelancongan memainkan peranan penting dari sudut ekonomi negara kita. Pada tiap-tiap tahun, dianggarkan jumlah pelancong yang berkunjung ke negara kita adalah melebihi 6 juta orang. Kebanyakan pelancong adalah terdiri daripada pelancong asing seperti pelancong Singapura, Amerika Syarikat, Jepun dan sebagainya selain daripada pelancong tempatan. Terdapat pelbagai faktor yang telah menggalakkan kedatangan mereka ke negara kita.


            Faktor utama pelancong berkunjung ke Malaysia adalah disebabkan negara kita mempunyai pelbagai tempat menarik. Malaysia banyak memiliki kawasan rekreasi yang sesuai untuk dikunjungi oleh para pelancong antaranya ialah kawasan pantai yang bersih, cantik dan berpasir putih seperti yang terdapat di pantai Desaru, pantai Cahaya Bulan dan sebagainya. Hal ini menggalakkan pelancong bertumpu di kawasan tersebut untuk mandi-manda sambil menikmati keindahan alam. Jelaslah bahawa keindahan negara ini mampu menggamit kehadiran pelancong ke negara bertuah ini.

Selain itu, Malaysia juga mempunyai banyak tempat menarik untuk di kunjungi oleh pelancong. Para pelancong dapat menikmati bangunan-bangunan tinggi mencakar langit atau bangunan bersejarah yang sentiasa terpelihara. Di ibu kota Kuala Lumpur umpamanya terdapat bangunan canggih iaitu bangunan KLCC yang sentiasa menjadi daya tarikan pelancong. Hal ini telah menyebabkan jumlah pelancong ke negara kita sentiasa bertambah.

            Pada masa yang sama, kedatangan pelancong ke negara kita adalah disebabkan oleh kepelbagaian jenis budaya yang terdapat di Malaysia. Memandangkan Malaysia mempunyai masyarakat majmuk, pelbagai jenis makanan terdapat di sini. Pelancong dapat menikmati makanan kaum Melayu seperti sate, ketupat dan rendang mahupun makanan kaum India seperti tosei dan maruku. Mereka juga boleh menikmati tarian pelbagai kaum seperti tarian zapin dan tarian inang bagi kaum Melayu dan tarian singa daripada kaum Cina. Tuntasnya, keunikan budaya ini telah menggalakkan kunjungan pelancong ke negara kita.

            Di samping itu, kemudahan pengangkutan awam turut menggalakkan kemajuan dalam sektor pelancongan negara. Kerajaan telah membina jalan raya untuk menghubungkan kawasan pelancongan agar dapat dikunjungi dengan mudah. Kerajaan juga meningkatkan kekerapan penerbangan ke negara-negara lain untuk menarik lebih ramai pelancong berkunjung ke Malaysia. Hal ini terbukti berkesan apabila jumlah pelancong yang berkunjung ke Malaysia sentiasa bertambah dari setahun ke setahun.


             Faktor lain yang menggalakkan pelancong berkunjung ke Malaysia ialah terdapatnya kemudahan membeli-belah yang disediakan untuk para pelancong. Dengan wujudnya kemudahan ini, mereka dapat berbelanja atau mendapatkan cenderamata untuk dibawa pulang ke negara mereka. Barang-barang yang terdapat di situ juga dijual dengan harga yang berpatutan. Hal ini menggalakkan pelancong untuk terus berkunjung ke negara kita.



             Intihanya, sektor pelancongan di Malaysia semakin meningkat maju kerana disebabkan oleh pelbagai faktor. Justeru, rakyat jelata perlulah sentiasa menunjukkan sikap mesra pelancong dan bersopan-santun bagi menggalakkan kehadiran mereka ke negara kita.

Rekayasa: Harum Awang- GC & Munsyi Dewan DBP