Saturday, December 6, 2014

SPM Karangan Cemerlang : Langkah-Langkah yg Harus Diambil oleh Pelbagai Pihak supaya Kejiranan dpt Ditingkatkan

Semangat Kejiranan dalam kalangan rakyat di negara ini semakin longgar.     
                              
Pada pendapat anda, apakah langkah-langkah yang harus diambil oleh pelbagai  pihak supaya semangat kejiranan dalam kalangan penduduk dapat ditingkatkan?

             Jiran ialah orang yang tinggal di sekeliling rumah kita, iaitu di sebelah, di hadapan dan juga di belakang rumah kita. Jika kita tinggal dalam satu taman atau di sebuah egara yang sama, mereka akan dikenali sebagai jiran tetangga kita. Jiran sangat penting kerana merekalah yang akan menjadi  sahabat kita dan orang yang akan membantu kita apabila kita menghadapi kesusahan nanti. Pepatah Melayu ada mengatakan bahawa “Jiran sepakat membawa berkat”. Jadi, kita perlulah mengukuhkan semangat kejiranan supaya kita sentiasa bersatu hati dalam melakukan sesuatu perkara. Persoalannya, apakah langkah-langkah yang wajar diambil untuk memupuk semangat kejiranan dalam kalangan penduduk setempat?

                Langkah primer yang harus diambil oleh pihak kerajaan ialah kerajaan menjalankan kempen-kempen kejiranan yang bersesuaian di semua peringkat sama ada peringkat daerah, negeri atau kebangsaan.Tujuan kempen ini adalah untuk menanam semangat perpaduan dan bersatu padu dalam kalangan rakyat. Konsep 1Malaysia yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Tun Abdul Razak menekankan semangat perpaduan antara kaum di Malaysia. Usahasama sebeginilah yang wajar diambil contoh dan diaplikasikan dalam institusi masyarakat bagi mencetuskan semangat kejiranan yang utuh. Kempen kejiranan yang dijalankan ini perlulah berterusan dan janganlah seperti “hangat-hangat tahi ayam” sahaja. Jelasnya, kempen yang dijalankan ini dapat memberikan kesedaran kepada masyarakat untuk memupuk semangat kejiranan.

               Selain itu, langkah yang harus diambil ialah masyarakat setempat perlulah mengadakan aktiviti gotong-royong. Melalui aktiviti gotong-royong, jiran dapat berkumpul dan bekerjasama sambil berbincang tentang aktiviti yang akan dilakukan. Apabila berkumpul dan berbincang ,mereka akan dapat berkenal-kenalan antara satu dengan yang lain yang sekali gus membolehkan seseorang itu mengenal hati budi jiran mereka dengan lebih dekat. Hal ini dapat digambarkan melalui pepatah Melayu yang mengatakan bahawa “tak kenal maka tak cinta”. Sebagai contoh, aktiviti yang boleh diadakan secara bergotong-royong ialah membersihkan kawasan taman, menyediakan hidangan untuk kenduri kendara dan sebagainya. Melalui cara ini, kita dapat menjalinkan dan meningkatkan hubungan negara jiran. Malahan, menurut laporan majalah ‘The Times’ di Australia. kegiatan gotong-royong yang diamalkan di Malaysia merupakan antara aktiviti yang terbaik di dunia.

                Di samping itu, peranan media massa merupakan langkah yang amat penting dalam meningkatkan semangat kejiranan dalam kalangan rakyat Malaysia. Pelbagai kaedah boleh digunakan dalam menyuburkan semangat kejiranan.Media cetak misalnya boleh menyiarkan artikel-artikel tentang kepentingan semangat kejiranan .Media elektronik pula boleh menyiarkan dokumentari dan rancangan menarik tentang kejiranan. Melalui media massa, pelbagai maklumat dan berita boleh disampaikan dengan cepat dan mudah .Sesungguhnya,berita dan isu semasa yang disiarkan oleh media massa lebih mudah menarik perhatian orang ramai terutamanya generasi muda. Sebagai contoh, usaha Majalah 3 menyiarkan ‘Colour of Malaysia’ wajar disokong. Justeru,semangat “hati gajah sama dilapah, hati kuman sama dicecah” ini wajar kita tonjolkan melalui media massa.

                Seterusnya, setiap penduduk hendaklah mengadakan majlis-majlis rumah terbuka semasa sesuatu sambutan perayaan. Amalan ini dapat membentuk ikatan silaturahim dan memperkukuh semangat kejiranan dalan kalangan jiran setempat. Melalui acara rumah terbuka, jiran dapat bertanya khabar dan bercerita tentang pengalaman dengan lebih dekat. Seterusnya, melalui rumah terbuka ini, semua ahli dalam masyarakat berpeluang untuk berkumpul dan berbincang sambil menikmati juadah yang disediakan oleh tuan rumah. Sebagai contoh, sambutan majlis rumah terbuka sempena Hari Raya Aidilfitri, Tahun Baru Cina, Krismas, Deepavali dan sebagainya hendaklah dijadikan acara tahunan. Tegasnya, majlis rumah terbuka mampu mendekatkan ahli masyarakat untuk bertemu muka dan berkenalan dengan lebih erat lagi.

               Di samping itu, Jawatan Kuasa Kampung dan Jawatan Kuasa Taman juga hendaklah mengadakan aktiviti Hari Keluarga untuk memupuk semangat kejiranan dalam kalangan masyarakat setempat. Semasa aktiviti Hari Keluarga diadakan,s emua ahli keluarga jiran akan turut serta melibatkan diri dalam aktiviti berkayak, memasukkan air ke dalam botol ,terompah gajah dan sebagainya. Apabila aktiviti Hari Keluarga diadakan, kemesraan akan terjalin bukan sahaja antara ibu dengan bapa, malah anak-anak juga.Aktiviti seperti ini hendaklah diadakan di padang bola sepak, gelanggang bola egara, taman rekreasi atau padang sekolah yang berhampiran. Jadi, melalui aktiviti ini, hubungan yang erat egara jiran dapat dibentuk yang secara tidak langsung akan menimbulkan perasaan ingin membantu antara satu dengan yang lain seperti yang terungkap dalam peribahasa Melayu,”ke bukit sama didaki, ke lurah sama dituruni”.

               Tambahan lagi, kerajaan juga harus menggalakkan rakyat supaya melibatkan diri dalam aktiviti egara seperti persatuan atau pertubuhan. Penduduk setempat mestilah membentuk satu persatuan yang mempunyai satu egara organisasi yang teratur. Persatuan atau pertubuhan ini hendaklah melibatkan semua penduduk sebagai ahli. Dewasa ini, banyak pertubuhan sukarela ditubuhkan dalam masyarakat seperti Pertubuhan Rukun Tetangga, Jawatan Kuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung, Pertubuhan Khairat Kematian dan sebagainya. Sebagai contoh, melalui Pertubuhan Rukun Tetangga, masyarakat setempat secara bergilir-gilir mengawasi keselamatan taman untuk mengelakkan kejadian-kejadian yang tidak diingini berlaku. Hal ini dapat kita lihat dalam peribahasa Melayu,iaitu “ibarat aur dengan tebing” yang mementingkan semangat sandar-menyandar atau saling membantu dalam kehidupan.

                  Akhir sekali, masyarakat mestilah menyemarakkan budaya kunjung-mengunjungi dalam kalangan rakyat sebagai langkah untuk memupuk dan mengekalkan semangat kejiranan. Dalam hidup bermasyarakat, kita digalakkan menziarahi jiran kita. Melalui aktiviti ini, kita akan mengetahui masalah dan kesusahan yang dialami oleh jiran kita. Sebagai contoh, kita perlu berkunjung ke hospital jika kita mendapat berita bahawa jiran kita dimasukkanke hospital kerana menghidap sesuatu penyakit atau kemalangan. Walaupun pepatah Melayu ada mengatakan bahawa “berat mata memandang berat lagi bahu memikulnya”, namun sebagai jiran, kita mestilah berpegang kepada prinsip cubit peha kiri, peha kanan terasa juga. Maksudnya ialah jika kita mempunyai semangat kejiranan yang tinggi, kita akan dapat merasai segala kesusahan dan keperitan yang dialami oleh jiran kita itu.

               Kesimpulannya, kita perlu memupuk semangat kejiranan dalam kalangan penduduk setempat. Dalam era globalisasi, sikap mementingkan diri sendiri dan sikap tidak mempedulikan orang lain semakin menebal seperti yang terkandung dalam pepatah Melayu “bagai enau dalam belukar melepaskan pucuk masing-masing”. Jika hal ini dibiarkan, semangat kejiranan akan luntur dan seterusnya akan menjejaskan perpaduan egara. Ada pepatah yang mengatakan bahawa “bersatu kita teguh bercerai kita roboh”. Oleh itu, dengan meningkatkan semangat kejiranan, perpaduan akan bertambah utuh dan teguh. Jadi,dalam setiap masa, kita mestilah sentiasa berusaha untuk memastikan semangat kejiranan sentiasa terpelihara supaya egara kita sentiasa aman, harmoni dan sejahtera.

Rekayasa: Harum Awang- GC & Munsyi Dewan DBP

SPM Karangan Cemerlang : Usaha-Usaha Anda Untuk Meningkatkan Penggunaan Pusat Sumber Sekolah Anda

Permainan tradisional semakin dipinggirkan oleh generasi muda.
Jelaskan usaha-usaha yang boleh anda lakukan bagi memartabatkan permainan  tradisional di negara kita.

            Pada zaman pascakemerdekaan ini, arus modenisasi dan globalisasi yang pesat berkembang menyebabkan permainan tradisional sudah semakin dipandang enteng dan disisihkan oleh masyarakat kita daripada arus perdana. Permainan tradisional adalah merujuk kepada permainan budaya yang sudah diamalkan oleh sesebuah masyarakat untuk satu tempoh yang tertentu sebagai pengisi masa lapang. Negara kita kaya dengan pelbagai jenis permainantradisional yang tak lapuk dek hujan dan tak lekang dek panas. Antara jenis permainan tradisional tersebut termasuklah congkak, wau, gasing, galah panjang, batu seremban, teng-teng, guli, sepak raga, konda-kondi dan sebagainya. Kebanyakan daripada permainan tersebut kurang diketahui oleh generasi muda.  Hal ini membayangkan bahawa permainan tradisional  berkenaan akan lenyap ditelan zaman jika tiada usaha diambil untuk mengetengahkannya dalam kalangan khalayak ramai khususnya generasi masa ini. Persoalannya, apakah peranan yang seharusnya saya mainkan dalam usaha memartabatkan permainan tradisional di negara kita?

            Kesimpulannya, remaja hendaklah berusaha mempopularkan permainan tradisional agar permainan tersebut terus terpelihara dan mendapat tempat di hati masyarakat Malaysia umumnya dan generasi muda khususnya. Maka golongan muda perlu berganding bahu dan meminta bantuan golongan yang lebih tua agar permainan tradisional terus dimartabatkan dan diketengahkan dalam pelbagai situasi dan aktiviti. Kedua-dua golongan boleh saling bekerjasama sebelum nasi menjadi bubur. Khazanah ini perlu dipelihara dan dikekalkan di negara ini dengan menggunakan pelbagai pendekatan sesuai dengan peribahasa di mana ada kemahuan, di situ ada jalan.

            Usaha pertama yang saya lakukan untuk memartabatkan permainan tradisional adalah dengan memupuk minat diri sendiri terhadap  permainan tradisional. Remaja pada masa ini  banyak terdedah dengan pelbagai pengaruh modenisasi dan perubahan. Mereka sering menganggap permainan tradisional telah lapuk dan ketinggalan zaman. Oleh itu, sebagai  generasi muda, saya harus sedar bahawa saya  berperanan  memartabatkan permainan tradisional. Hal ini boleh dilakukan atas kesedaran diri sendiri untuk mencari pelbagai informasi berkaitan dengan permainan tradisional. Saya akan mengakses maklumat tentang permainan tradisional agar dapat memahami dengan lebih jelas setiap permainan tradisional yang ada di negara kita.  Terdapat banyak laman web yang memberikan pelbagai maklumat berkenan pelbagai permainan tradisional berserta gambarnya sekali. Secara tidak langsung, wujud kesedaran dalam diri sendiri untuk memartabatkan  permainan tradisional di negara ini bagi menyaingi permainan moden yang semakin popular dalam kalangan remaja.

            Selain itu, usaha yang boleh saya lakukan  adalah dengan menjadikan permainan tradisional sebagai pengisi masa lapang. Hal ini boleh dilakukan dengan rakan-rakan sebaya pada waktu petang atau pada masa cuti sekolah bagi menggantikan permainan moden. Saya boleh meminta tunjuk ajar daripada golongan yang lebih tua tentang cara-cara  permainan tradisional tersebut bagi membolehkan saya dan rakan-rakan memainkannya bersama rakan-rakan. Inisiatif ini bukan sahaja dapat memartabatkan permainan tradisional malah dapat memupuk semangat setia kawan dan kerjasama sesama rakan. Hal ini juga boleh mengelakkan diri saya sebagai remaja daripada terjebak dengan pelbagai gejala negatif akibat daripada pengaruh rakan-rakan dan persekitaran yang tidak baik. Bagi diri saya  lebih baik mengisi masa dengan bermain permainan tradisional daripada melakukan perkara-perkara yang tidak berfaedah. Jelaslah permainan tradisional mendatangkan banyak  kebaikan kepada generasi muda masa ini.

            Di samping itu, bagi memartabatkan permainan tradisional,  saya sebagai pelajar sekolah haruslah berani mengesyorkan kepada guru-guru di sekolah agar permainan tradisional menjadi salah satu aktiviti semasa perjumpaan kokurikulum. Saya akan menulis surat kepada pihak sekolah menerusi persatuan agar memasukkan permainan tradisional menjadi sebahagian daripada aktiviti kokurikulum di sekolah.  Hal ini secara tidak langsung akan memperkenalkan permainan tradisional kepada semua pelajar. Saya  juga akan  menyertai permainan tradisional yang dipertandingkan di peringkat sekolah semasa aktiviti kokurikulum dan juga persatuan akademik. Antara aktiviti yang boleh dilakukan ialah pertandingan membuat wau, pertandingan bermain congkaka dan demonstrasi permainan daripada golongan tua yang lebih berpengalaman bagi menarik minat pelajar. Dengan cara tersebut, minat remaja terhadap permainan tradisional dapat dipupuk agar kepelbagaian permainan tradisional dapat dipelihara. Ibarat kata pepatah, tak kenal maka tak cinta amat bertepatan kerana jika pelajar telah mula diperkenalkan dengan pelbagai permainan tradisional, sudah pastilah minat terhadapnya akan tertanam secara semula jadi. Maka para pelajar perlu berani membuat perubahan ke arah memartabatkan permainan tradisional.

            Usaha yang seterusnya ialah saya sebagai remaja perlu menanamkan semangat cinta akan budaya terutama permainan tradisional.  Hal ini adalah  kerana, permainan tradisional merupakan budaya masyarakat Malaysia sejak dahulu dan perlu diteruskan dan dipelihara agar dikenali oleh generasi akan datang. Sesuatu yang baik itu perlu dipupuk dan ditanam dalam diri sejak kecil sesuai dengan peribahasa, melentur buluh biarlah dari rebungnya. Jika asasnya telah kukuh maka secara langsung remaja masa ini tidak akan segan silu mempertahankan dan memartabatkan permainan tradisional. Alah bisa tegal biasa kerana sesuatu yang sukar pada awalnya akan menjadi mudah dan biasa jika selalu dilakukan dan diamalkan. Begitulah juga yang diharapkan terhadap permainan tradisional. Jika remaja seperti saya telah mula menanamkan sikap sayang dan cinta akan budaya masyarakat ini, maka sudah pasti permainan tradisional terpelihara megah dalam kalangan masyarakat Malaysia. Sesungguhnya kecintaan terhadap permainan tradisional akan memupuk juga rasa cinta terhadap negara.

Rekayasa: Harum Awang- GC & Munsyi Dewan DBP

SPM Karangan Cemerlang : Usaha-Usaha Anda Untuk Meningkatkan Penggunaan Pusat Sumber Sekolah Anda

Anda sebagai pengawas pusat sumber sekolah, jelaskan usaha-usaha yang dapat anda lakukan untuk membantu meningkatkan penggunaan pusat sumber sekolah anda.

            Pusat Sumber sekolah merupakan gedung ilmu iaitu tempat untuk mendapatkan pelbagai informasi yang diperlukan oleh setiap warga sekolah. Namun, sejak akhir-akhir ini isu para pelajar kurang mengunjungi pusat sumber sekolah sering diperkatakan dalam media massa sama ada media cetak atau media elektronik. Hal ini membimbangkan semua pihak kerana para pelajar merupakan pelapis yang bakal menerajui negara pada masa hadapan, bak kata peribahasa pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara. Oleh itu, pusat sumber sekolah perlu diurus secara sistematik dan efisien untuk memupuk budaya membaca dalam kalangan pelajar agar menjadi pelajar yang berilmu dan bermaklumat selaras dengan Falsafah Pendidikan Negara. Persoalannya, apakah usaha-usaha untuk membantu meningkatkan penggunaan pusat sumber sekolah?
            Selaku pengawas pusat sumber sekolah, terdapat banyak usaha yang dapat saya lakukan untuk membantu meningkatkan penggunaan pusat sumber di sekolah saya. Salah satunya ialah saya akan memastikan pusat sumber sentiasa berada dalam keadaan kemas dan menarik. Saya akan bekerjasama dengan pengawas pusat sumber yang lain untuk mengemas kini pusat sumber. Aktiviti gotong-royong membersihkan pusat sumber  akan diadakan secara berkala agar pusat sumber sentiasa berada dalam keadaan bersih . Saya juga akan memastikan buku-buku disusun atur dengan kemas  di atas rak-rak  buku mengikut kategori dan jenis buku. Dengan ini keadaan harmoni dan selesa dapat diwujudkan. Situasi ini dapat memberi keselesaan kepada seseorang pelajar semasa mengulang kaji pelajaran di pusat sumber. Jelaslah, situasi yang kemas, bersih dan menarik mampu menarik para pelajar berkunjung ke pusat sumber.
            Selain itu, saya akan membantu guru pusat sumber melaksanakan program Nilam untuk meningkatkan penggunaan pusat sumber sekolah. Sebagai contohnya, saya boleh membantu mencari dan menyediakan buku-buku yang sesuai serta menarik untuk kegunaan para pelajar semasa program Nilam. Oleh itu, program Nilam dapat dijalankan dengan lancar dan berkesan. Hal ini dapat membantu meningkatkan penggunaan pusat sumber sekolah dan juga menyemai budaya membaca dalam kalangan pelajar. Program Nilam merupakan salah satu usaha Kementerian Pendidikan Malaysia untuk memupuk dan meningkatkan amalan membaca dalam kalangan pelajar. Budaya membaca amat penting dan melambangkan ketinggian tamadun sesuatu bangsa. Dengan membaca, seseorang itu akan mendapat pelbagai ilmu pengetahuan sebagai pedoman hidup, bak kata peribahasa membaca jambatan ilmu. Justeru, pelaksanaan program Nilam yang berkesan menjadi daya penarik kepada para pelajar untuk mengunjungi pusat sumber.
            Seterusnya, saya akan mengesyorkan kepada pihak sekolah agar menyediakan kemudahan yang lengkap di pusat sumber. Saya akan menulis surat kepada pihak pengurusan agar dapat menyediakan kemudahan yang lengkap di pusat sumber untuk kebaikan pelajar. Saya akan meminta pihak pengurusan menyediakan  komputer yang boleh diguna pakai oleh pelajar untuk melayari Internet bagi mendapatkan pelbagai informasi terkini.Saya akan membantu dari segi  penyediaan buku-buku yang baharu dan menarik. Dengan adanya pelbagai buku yang baharu dan terkini, pengunjung dapat meningkatkan ilmu pengetahuan mereka. Pihak sekolah juga perlu menyediakan pendingin hawa untuk memberi keselesaan kepada para pelajar. Secara tidak langsung keadaan ini lebih mewujudkan suasana yang kondusif dan menggalakkan para pelajar berkunjung ke pusat sumber sekolah.
            Di samping itu, sebagai pengawas pusat sumber juga, saya akan mengamalkan budaya mesra pelanggan semasa menjalankan tugas. Saya akan bersikap sopan, berbudi pekerti mulia dan berhemah tinggi serta sentiasa bersedia memberikan pertolongan sekiranya pengunjung menghadapi masalah tanpa mengira bangsa dan agama , bak kata peribahasa budi bahasa budaya kita. Layanan mesra daripada  pengawas  menggembirakan para pengunjung dan merupakan salah satu kunci untuk menarik para pelajar mengunjungi pusat sumber. Saya juga akan membantu pihak sekolah mempromosikan buku-buku di pusat sumber agar dapat dipinjam oleh pelajar. Saya juga perlu bersikap adil dan tegas kepada semua pelanggan terutama sekiranya mereka lewat atau sengaja  tidak memulangkan buku yang dipinjam mengikut tarikh yang ditetapkan.
            Selaku pengawas pusat sumber juga, saya akan mencadangkan kepada pihak sekolah agar menyediakan sistem pinjaman buku yang sistematik dan berkesan untuk membantu meningkatkan penggunaan pusat sumber sekolah saya. Contohnya penggunaan ICT khususnya komputer dalam urusan pinjaman dan pemulangan buku dapat menjimatkan masa dan tenaga. Penggunaan sistem berkod merupakan langkah bijak kerana semua bahan bacaan berbentuk buku akan direkodkan secara berkod yang memudahkan urusan pinjaman dan pemulangan buku yang dilakukan secara ‘ scaning’. Kaedah ini akan mewujudkan sistem pengurusan pusat sumber yang sistematik kerana para pelajar tidak perlu menunggu terlalu lama untuk urusan pinjaman dan pemulangan buku. Jelaslah sistem pinjaman yang sistematik dan efektif  adalah penting untuk meningkatkan penggunaan pusat sumber sekolah.
            Kesimpulannya, pusat sumber sekolah menyediakan perkhidmatan dan sumber pembelajaran dalam pelbagai bentuk bagi membolehkan warga sekolah menjadi pengguna yang bermaklumat dan pemikir  yang kreatif serta kritis. Justeru, terpulang pada pelajar sendiri sama ada mahu menggunakan atau sebaliknya,  tepuk dada tanyalah minda.  Semua pihak perlulah berganding bahu dalam usaha meningkatkan penggunaan pusat sumber sekolah bak kata peribahasa bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat.


Rekayasa: Harum Awang- GC & Munsyi Dewan DBP