Saturday, December 6, 2014

SPM Karangan Cemerlang : Usaha-Usaha Anda Untuk Berjaya dlm Kehidupan

Setiap ibu bapa mengharapkan anak-anak berjaya dalam kehidupan.

Bincangkan usaha-usaha yang wajar anda lakukan untuk memastikan harapan mereka itu tercapai.
        Setiap ibu bapa mengharapkan anak-anak berjaya dalam kehidupan. Pernyataan ini jelas menunjukkan bahawa hasrat semua ibu bapa di dunia ini adalah sama. Sesungguhnya, ibu bapa merupakan insan mulia yang melahirkan kita  dan membesarkan kita dengan penuh kasih sayang bagai menatang minyak yang penuh. Mereka  merupakan orang yang paling banyak berkorban demi kesejahteraan hidup kita. Ahli bijak pandai pernah berkata bahawa,”Tiada anugerah yang lebih berharga yang diberikan oleh ibu dan ayah kepada anaknya kecuali tunjuk ajar dan budi pekerti yang mulia”. Ungkapan ini jelas memaparkan betapa besar pengorbanan  ibu bapa dalam mendidik anak-anak menjadi insan yang berguna.  Sebagai anak yang bertanggungjawab, kita perlu sentiasa ingat akan pengorbanan ibu bapa kita dan sentiasa bersedia untuk membalas budi mereka agar kita tidak dianggap sebagai anak yang derhaka atau kacang lupakan kulit.  Satu perkara yang amat wajar kita lakukan dalam kehidupan kita ialah memenuhi harapan ibu bapa terhadap kita agar berjaya dalam hidup. Persoalannya, apakah usaha-usaha yang wajar saya lakukan untuk memastikan harapan ibu bapa tercapai?
        Usaha pertama yang perlu saya lakukan untuk memastikan harapan ibu bapa tercapai ialah saya akan belajar bersungguh-sungguh untuk mencapai kecemerlangan dalam peperiksaan. Saya akan menumpukan sepenuh perhatian  semasa guru sedang mengajar di kelas. Sekiranya terdapat topik yang tidak difahami, saya akan bertanya kepada guru. Sememangnya tidak dapat dinafikan bahawa kecemerlangan dalam bidang akademik pada zaman ini menentukan keadaan masa hadapan seseorang kerana mereka yang cemerlang dalam akademik biasanya mempunyai masa hadapan yang cerah. Kejayaan yang saya capai ini, sudah pasti dapat membanggakan kedua-dua ibu bapa dan keluarga. Pada era globalisasi ini yang penuh dengan persaingan ini,  amat penting bagi seseorang  mencapai kecemerlangan akademik untuk bersaing dengan orang lain terutamanya dalam alam pekerjaan. Masyarakat kini menilai seseorang berdasarkan pencapaian akademiknya.  . Saya akan sentiasa berusaha untuk membolehkan diri saya meraih kejayaan dan kegembiraan setiap kali keputusan peperiksaan diumumkan. Oleh itu, saya akan membuat persediaan yang rapi sebelum menduduki peperiksaan agar saya dapat menjawab semua soalan dengan cemerlang kerana di mana ada kemahuan di situ  pasti ada jalan.. Pada masa yang sama,saya juga akan memberi perhatian pada perkara yang berkaitan dengan ilmu selain bidang akademik. Hal ini kerana saya sedar bahawa kecemerlangan akademik bukanlah segala-galanya.Seorang insan yang berjaya perlu mahir dalam pelbagai bidang.Tegasnya,saya akan belajar dengan tekun dan berusaha dengan gigih bagi menunaikan harapan ibu bapa.
        Selain itu, saya juga akan sentiasa mengamalkan nilai-nilai murni dan berbudi bahasa dalam kehidupan. Saya akan mengamalkan nilai ketabahan, kerajinan, amanah, tidak berputus asa dan beryakinan tinggi dalam usaha mencapai kejayaan.  Hal ini demikian kerana saya sedar bahawa orang yang berjaya dalam kehidupan bukan sahaja perlu cemerlang dalam bidang akademik,  malahan perlu menjadi seorang yang cemerlang dari segi akhlak, rohani, intelek dan emosi iaitu mempraktikkan konsep JERI yang terdapat dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Sebagai contohnya, saya akan sentiasa bersopan santun dan menghormati ibu bapa, guru-guru,  jiran tetangga  dan orang di sekeliling saya. Amanat ini bukan sahaja dapat mengeratkan hubungan saya dengan orang lain malah dapat membina personaliti yang luhur dalam diri saya. Saya juga akan sentiasa menghormati orang yang lebih tua dan bertegur sapa seperti mengucapkan selamat kepada mereka. Sahsiah yang saya miliki  ini pasti akan menggembirakan hati kedua-dua ibu bapa saya, bak kata pepatah, “ahklak yang baik seperti madu, sentiasa manis dan berkhasiat”. Saya akan membuang sikap malas dalam diri agar tidak menghampakan harapan ibu bapa saya. Akhlak yang terpuji akan menjadi penghias diri dan berjalan seiring dengan kejayaan yang kita miliki. Kita perlu ingat bahawa sekiranya ahklak seseorang itu buruk, walau betapa cemerlang pun pencapaiannya dalam akademik tidak akan dihormati dan disegani. Jelasnya, amalan berbudi bahasa amat penting dalam menentukan kejayaanseseorang individu.

            Berdasarkan perbincangan di atas,  dapatlah  disimpulkan bahawa untuk mencapai impian dan kejayaan dalam hidup, saya sebagai remaja perlu berusaha bersungguh-sungguh untuk mencapai kejayaan.. Saya akan berusaha memastikan agar impian dan cita-cita saya tercapai dan sekali gus,  saya juga dapat memenuhi impian dan harapan ibu bapa saya.  Charles Dickens pernah berkata bahawa “kemahuan seperti sebilah pedang yang dapat membuat jalan melalui hutan rimba.” Manusia memang tidak dapat menjangka dan melihat masa hadapan, tetapi manusia boleh meramal masa hadapan mereka dengan merancang masa hadapan mereka sebaik-baiknya. Jelasnya, kita harus memberi peluang kepada diri kita untuk menjadikan impian dan cita-cita  sebagai kenyataan kerana hendak seribu daya, tidak hendak seribu dalih.

       Seterusnya, saya juga akan sentiasa berpegang teguh  kepada ajaran agama sekiranya ingin berjaya dalam kehidupan. Pegangan agama yang teguh  membolehkan saya mempunyai benteng keimanan yang  kukuh dan ampuh bagi mengelakkan diri saya daripada  pengaruh  negatif yang dapat menjejaskan kehidupan saya. Dengan berpegang teguh kepada ajaran agama, saya akan memiliki jati diri yang utuh untuk melawan serangan pemikiran yang boleh menjerumuskan saya ke kancah maksiat. Hal ini kerana Tuhan sentiasa menyeru hambanya  untuk melakukan sesuatu yang baik serta menjauhi perkara yang buruk. Pegangan kepada agama juga dapat meningkatkan keyakinan diri saya dan membolehkan saya mempunyai matlamat yang jelas dalam hidup. Hal ini amat penting dalam menentukan kejayaan saya  pada masa hadapan. Pendidikan agama yang saya peroleh, menjadi pedoman hidup yang boleh membentuk saya menjadi seorang yang positif dalam segala hal. Saya tidak mudah dipengaruhi oleh rakan-rakan yang tidak baik. Sebaliknya, saya akan sentiasa  menjaga nama baik ibu bapa dan keluarga.  Tegasnya,saya akan berpegang teguh kepada ajaran agama agar dapat mencapai kejayaan dalam hidup dan membanggakan kedua-dua ibu bapa saya.
            Di samping itu, saya akan bergaul dengan rakan-rakan yang baik dan mempunyai keinginan untuk menjadi seorang yang berguna kepada masyarakat apabila dewasa kelak. Dengan ini, saya tidak akan dipengaruhi oleh rakan-rakan yang bermasalah dan seterusnya terlibat dalam gejala social yang negatif. Saya akan membezakan antara kaca dengan permata dan sentisasa memikirkan akan masa depan saya serta matlamat hidup saya. Melalui pergaulan dengan rakan-rakan yang mengutamakan pendidikan mereka, saya akan dapat bertukar-tukar pendapat serta ilmu dengan mereka. Saya juga dapat menyertai kumpulan pembelajaran mereka dan membolehkan saya berbincang serta lebih memahami topik-topik yang telah diajarkan oleh guru. Secara tidak langsung, pencapaian keputusan peperiksaan saya akan meningkat hasil daripada perbincangan dan tunjuk ajar daripada rakan-rakan.  Pergaulan dengan rakan-rakan yang bijak dalam pembelajaran akan dapat menimbulkan persaingan yang sihat dalam diri saya. Saya akan mempunyai semangat untuk belajar dengan lebih bersungguh-sungguh agar diri saya tidak akan diasingkan dari kumpulan tersebut serta tidak akan berasa tersisih dan terpulau apabila dalam menyelesaikan sesuatu soalan. Saya juga dapat bergantung kepada rakan–rakan yang baik ini apabila saya tidak berdaya untuk menghadapi dan menyelesaikan  sesuatu cabaran dalam hidup. Mereka tentu  akan dapat membantu saya untuk membangkitkan diri saya semula dengan memberi  dorongan dan nasihat yang berguna kepada saya dan bukannya menyuruh saya melibatkan diri diri dengan gejala sosial negatif yang dapat mengurangkan tekanan jiwa dan stress. Maklumlah, seseorang akan lebih terpengaruh dengan gejala sosial apabila berada dalam ambang kegagalan dan kekecewaan. Tegasnya, saya akan bergaul dengan rakan-rakan yang berakhlak mulia agar saya tidak akan tersilap langkah dalam membuat sebarang keputusan dalam hidup saya agar dapat memenuhi impian dan harapan ibu bapa.
      Seterusnya, saya akan meningkatkan keilmuan diri saya dengan pembacaan. Ibn. Khaldun pernah berkata bahawa “membaca menjadi akar tunjang kekuatan seseorang individu, malah sesuatu bangsa dan sesebuah negara”.Hal ini  jelas menunjukkan bahawa membaca adalah amat penting dalam menentukan kekuatan dan kejayaan seseorang individu. Saya akan membaca buku-buku yang berkaitan dengan pembinaan kendiri seperti buku-buku motivasi dan sebagainya untuk meningkatkan tahap pemikiran diri saya kerana membaca jambatan ilmu. Langkah ini bagai serampang dua mata kerana selain boleh membantu saya dalam bidang akademik, usaha tersebut juga dapat membentuk diri saya menjadi seorang yang berilmu pengetahuan luas. Secara langsung, kejayaan akan dapat dicapai dalam kehidupan. Saya juga akan cuba memperbaiki kelemahan diri untuk berjaya dalam kehidupan. termasuk mengatasi  sikap malas. Saya akan mengubah sikap ini untuk mencapai kejayaan dan berubah menjadi seorang yang rajin kerana rajin dan usaha, tangga kejayaan.  Saya berharap agar perubahan yang saya lakukan ini dapat membolehkan diri saya mencapai harapan ibu bapa iaitu berjaya dalam kehidupan. Apabila masuk ke alam  pekerjaan kelak, saya akan mencari pekerjaan yang stabil dan membalas budi mereka.
            Akhir sekali,  saya akan sentiasa mendengar nasihat ibu bapa kerana Tuhan hanya akan menolong dan memberkati hidup anak yang taat kepada ibu bapa. Saya akan sentiasa patuh kepada arahan ibu bapa tanpa sebarang rungutan kerana saya sedar bahawa syurga terletak di bawah tapak kaki ibu. Saya juga sedar bahawa tanpa doa dan dorongan ibu bapa, betapa tabah dan pandai saya sekali pun, saya tidak mungkin akan mencapai impian serta kejayaan dalam hidup saya. Ibu bapa merupakan insan yang lebih tua dan mereka terlebih dahulu makan garam daripada saya. Oleh itu, ibu bapa mempunyai pengalaman yang kaya dan luas dalam masyarakat dan dunia luar. Maka, wajarlah saya untuk meminta dan menerima pandangan mereka agar diri saya tidak akan menimbulkan kesilapan yang mungkin mengakibatkan saya berasa menyesal buat seumur hidup saya. Mereka merupakan punca tenaga  dan dorongan saya untuk mengejar impian dan cita-cita saya serta memperoleh kejayaan dalam hidup saya. Tanpa mereka, saya tidak mungkin berpeluang untuk mencapai kejayaan dalam hidup saya. Tegasnya, saya akan mematuhi arahan dan mendengar nasihat ibu bapa agar impian saya dapat dicapai dan yang paling penting sekali ialah kisah Si Tanggang tidak akan berlaku  atas diri saya.

Rekayasa: Harum Awang- GC & Munsyi Dewan DBP

Wednesday, December 3, 2014

SPM Karangan Cemerlang : Usaha-Usaha Ibu Bapa Membentuk Anak Menjadi Insan yg Berguna

Ibu bapa sentiasa mengharapkan anak-anak mereka menjadi insan yang berguna.
Bincangkan usaha-usaha yang wajar dilakukan oleh ibu bapa untuk memastikan harapan mereka itu tercapai.
            Anak-anak yang sihat serta memperlihatkan kecemerlangan diri merupakan idaman setiap ibu bapa. Dalam hal ini, ibu bapa bertanggungjawab penuh untuk merealisasikan hal tersebut. Setiap ibu bapa mengharapkan anak-anaknya menjadi insan yang berguna kepada agama, bangsa dan negara. Mereka perlu berusaha untuk merealisasikan impian itu dengan mengaplikasikan kemahiran keibubapaan ke tahap yang paling optimum. Jika hal ini dipraktikkan, harapan untuk memiliki anak-anak yang berguna akan dapat direalisasikan. Persoalannya,apakah usaha-usaha yang wajar dilakukan oleh ibu bapa untuk memastikan harapan mereka tercapai?
            Usaha paling asas yang wajar dilakukan oleh ibu bapa untuk memastikan anak-anak mereka menjadi insan yang berguna ialah mewujudkan suasana kekeluargaan yang saling berkasih sayang. Ibu bapa haruslah memahami bahawa anak-anak memerlukan perhatian dan kasih sayang mereka. bu bapa boleh mencurahkan kasih sayang sama ada berbentuk luahan kata dan perbuatan yang secukup kepada anak-anak agar anak-anak berasa diri mereka diambil berat dan tidak diabaikan oleh ibu bapa. Misalnya, ibu bapa haruslah memberikan pujian kepada anak-anak sama ada dengan cara memberikan hadiah ataupun dengan mengucapkan kata-kata positif apabila anak-anak mendapat keputusan yang cemerlang. Hal ini penting kerana sepatah kata yang positif daripada ibu bapa dapat menyuntik semangat dan memberikan dorongan serta motivasi kepada anak-anak untuk terus berusaha mencapai kejayaan kerana pepatah menyatakan rajin dan usaha, tangga kejayaan.Kajian menunjukkan bahawa punca kebanyakan anak menjadi sampah masyarakat adalah kerana keadaan rumah tangga yang porak-peranda di samping sikap ibu bapa yang materialistik dan mementingkan kerjaya .Sebagai contohnya,banyak ibu bapa yang menyerahkan tanggungjawab mendidik anak-anak kepada pembantu rumah sepenuhnya. Hal ini menyebabkan anak-anak berasa tersisih dan diabaikan lalu melakukan perkara-perkara negatif. Tegasnya,anak-anak akan menjadi insan yang berguna kepada keluarga, masyarakat, agama, dan negara jika keluarga yang saling berkasih sayang dan mengambil berat dapat diwujudkan.
            Selain itu,untuk memastikan anak-anak menjadi insan yang berguna juga, ibu bapa perlu menyediakan kediaman yang menepati konsep “Rumahku Syurgaku” demi keselesaan anak-anak. Ibu bapa perlulah mewujudkan rumah tangga yang aman dan damai supaya anak-anak berasa tenang ketika berada di rumah. Setiap ibu bapa perlulah mengelakkan pertelingkahan di hadapan anak-anak. Ibu bapa hendaklah mengucapkan kata-kata yang lemah-lembut agar anak-anak mendengar segala arahan dan nasihat daripada ibu bapa. Bagi mewujudkan keselesaan dalam rumah tangga, ibu bapa perlulah menyediakan kemudahan yang lengkap untuk ahli keluarganya seperti bilik tidur yang mencukupi, bilik untuk anak-anak belajar dan bilik untuk anak-anak menonton televisyen atau bermain komputer. Sudah terbukti bahawa anak-anak yang tinggal di kediaman yang kurang selesa cenderung untuk melepak dan sesetengahnya tidak pulang ke rumah. Amalanmelepak ini mendedahkan anak-anak kepada pelbagai bentuk gejala negatif seperti merokok, menagih dadah dan sebagainya. Hal ini banyak berlaku di bandar-bandar besar, khususnya di kawasan-kawasan setinggan. Oleh hal yang demikian ,ibu bapa perlu menyediakan kediaman yang selesa untuk anak-anak mereka sekiranya mereka menginginkan anak-anak mereka menjadi insan yang berguna dan menyayangi keluarganya.

            Di samping itu, untuk memastikan anak-anak menjadi insan yang berguna, setiap ibu bapa haruslah memberikan didikan agama yang sempurna kepada anak-anak sejak mereka kecil lagi kerana pepatah menyatakan bahawa kalau hendak melentur buluh biarlah dari rebungnya dan asas pendidikan bermula dari rumah.. Didikan agama yang sempurna dapat membentuk akhlak dan pekerti mulia kepada anak-anak di samping membantu mereka mengetahui batas hidup yang betul. Penerapan nilai agama dapat membantu anak-anak untuk membezakan  baik atau buruk sesuatu perkara dan anak-anak membesar dengan berpandukan ajaran agama. Sebagai contoh, jika keluarga tersebut berasal dari keluarga yang baik, kebiasaannya keturunannya akan baik. Jika ibu bapa mempunyai pegangan didikan agama yang kuat, anak-anak mereka juga akan mempunyai tingkah laku yang baik kerana madu satu tong dirembes, rembesnya madu juga, dan bagaimana acuan begitulah kuihnya. Dengan kesempurnaan didikan agama, anak-anak dapat mengawal diri daripada melakukan maksiat seperti meragut, berfoya-foya dan sebagainya.Tegasnya, didikan agama yang sempurna dapat merealisasikan impian ibu bapa untuk memiliki anak-anak yang berguna.
            Seterusnya, untuk memastikan anak-anak menjadi insan yang berguna, ibu bapa mestilah menjadi suri teladan yang terbaik kepada anak-anak, bak kata pepatah bagaimana acuan begitulah kuihnya. Ibu bapa janganlah menjadi seperti “ketam mengajar anaknya berjalan betul”. Ibu bapa meminta anak-anak menunjukkan contoh terbaik sedangkan mereka tidak menunjukkan contoh yang baik kepada anak-anak. Gaya mendidik anak-anak seperti ini tidak akan berkesan. Peribahasa Melayu “bapa borek anak rintik” sudah jelas membuktikan bahawa segala tindak tanduk ibu bapa akan menjadikan ikutan anak-anak, kerana anak-anak biasanya meniru tingkah laku dan percakapan ibu bapa. Anak-anak yang membesar di bawah didikan ibu bapa yang berjaya menjadi suri teladan yang baik akan menjadi insan yang baik dan bertanggungjawab. Oleh itu, ,ibu bapa haruslah sentiasa menjaga tingkah laku dan mengelakkan penggunaan bahasa yang kasar dalam kehidupan sehari-hari. Hal ini demikian kerana keperibadian ibu bapa menjadi penentu tingkah laku anak-anak pada masa hadapan. Jelasnya, ibu bapa harus menjadi contoh teladan yang baik agar anak-anaknya turut menjadi insan yang baik dan berguna.
            Tambahan lagi, ibu bapa perlulah bersedia untuk menerima sebarang teguran daripada orang lain berkaitan dengan tingkah laku anak-anak mereka dengan hati terbuka. Sebagai ibu bapa yang bertanggungjawab dan ingin membentuk anak mereka menjadi insan yang berguna, ibu bapa tidak sepatutnya menyebelahi anak-anak mereka apabila orang lain memberi teguran. Hal ini demikian kerana teguran yang diberi itu bukanlah untuk memburuk-burukkan anak mereka tetapi untuk membetulkan kesilapan yang telah dilakukan oleh anak mereka. Dalam konteks ini, falsafah “menjaga tepi kain orang lain” dalam masyarakat  adalah untuk kebaikan bersama dan ibu bapa perlulah menerimanya secara positif. Berdasarkan teguran yang diberikan, ibu bapa perlulah segera membetulkan kesilapan anak dan mencari punca anak mereka berbuat kesilapan sedemikian rupa agar anak mereka tidak mengulangi kesilapan yang sama. Jadi, untuk membentuk anak menjadi insan yang berguna, ibu bapa perlu menerima kritikan dan teguran orang lain dengan hati yang terbuka. Peribahasa “sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna” atau “sudah terhantuk baru terngadah” sewajarnya menjadi panduan kepada ibu bapa.

            Akhir sekali, ibu bapa perlu sentiasa mengikuti perkembangan pendidikan anak-anak sama ada dalam aspek kurikulum, kokurikulum dan sahsiah anak-anak. Sikap prihatin dan ambil berat ibu bapa menyebabkan anak-anak berasa diri mereka diutamakan. Untuk tidak mengecewakan ibu bapa, anak-anak akan berusaha meningkatkan kecemerlangan sama ada dalam aspek kurikulum ataupun kokurikulum. Hubungan ibu bapa dengan guru-guru sekolah juga memberikan impak kepada tahap sahsiah anak-anak. Sebagai contoh, ibu bapa perlu menjalinkan hubungan yang baik dengan guru di sekolah sama ada guru disiplin, guru kelas atau guru mata pelajaran. Ibu bapa perlu sering berkunjung ke sekolah untuk mengikuti perkembangan kemajuan anak-anak dalam bidang pelajaran dan berbincang dengan guru disiplin sekolah berkaitan akhlak dan sikap anak-anak di sekolah. Selain itu, ibu bapa juga perlu mengawasi tingkah laku anak-anak di luar rumah serta mengenali rakan-rakan mereka. Ibu bapa juga perlulah bertanya kepada anak sebab-sebab anak-anak keluar rumah atau pulang lewat. Tuntasnya, ibu bapa perlu memantau perkembangan pendidikan dan sahsiah anak-anak agar mereka jadi insan yang berguna apabila dewasa kelak.
            Berdasarkan berbincangan di atas, dapatlah disimpulkan bahawa usaha untuk membentuk anak-anak menjadi insan yang berguna memerlukan pengorbanan dan kesabaran ibu bapa. Untuk mendidik anak-anak menjadi seorang insan yang berguna bukanlah satu tugas yang mudah. Semua ini perlu dilakukan melalui proses pendidikan sedikit demi sedikit dan dengan penuh kesabaran. Oleh itu, perancangan yang teliti dan sistematik perlu dilakukan oleh ibu bapa secara istiqomah untuk mendidik anak-anak menjadi insan yang berguna.  Setiap ibu bapa juga mengharapkan anak mereka dapat memberikan sumbangan kepada masyarakat dan negara serta mempertahankan maruah keluarga. Tegasnya, tiada ibu bapa yang mahu melihat anak-anak mereka jadi sampah masyarakat yang bukan sahaja tidak memberikan sebarang sumbangan kepada masyarakat dan negara malah membawa masalah serta menjatuhkan keluarga kita. 

Rekayasa: Harum Awang- GC & Munsyi Dewan DBP

SPM Karangan Cemerlang : Usaha-Usaha Ibu Bapa Menggalakkan Anak Membaca

Minat membaca terutama membaca buku-buku ilmiah dalam kalangan anak remaja belum mencapai tahap yang memuaskan. 

Ibu bapa memainkan peranan penting untuk menggalakkan anak-anak mereka membaca karya-karya ilmiah agar dapat melahirkan generasi yang cinta akan ilmu.

Nyatakan usaha-usaha yang boleh diambil oleh ibu bapa untuk mencapai hasrat tersebut.
           Pada era globalisasi ini, ibu bapa memainkan peranan penting untuk menggalakkan anak-anak mereka membaca karya-karya ilmiah agar dapat melahirkan generasi yang cinta akan ilmu pengetahuan. Hal ini demikian kerana anak-anak muda pada era ini, lebih gemar membaca bahan-bahan bacaan yang ringan seperti surat khabar,  novel cinta, komik, majalah hiburan dan animasi kartun. Majalah atau buku yang sarat dengan ilmu dan pengetahuan seperti buku-buku motivasi, pembinaan kendiri, falsafah, Majalah Dewan Masyarakat, Solusi, Dewan Budaya, Al Islam,  dan Anis kurang diminati malah ada dalam kalangan mereka yang tidak tahu akan kewujudan majalah tersebut di pasaran. Mereka berpendapat bahawa membaca karya-karya ilmiah dianggap berat dan membosankan kerana memerlukan minda untuk berfikir sedangkan  majalah atau buku-buku yang berunsurkan hiburan lebih seronok untuk dibaca kerana pembacaan bagi mereka hanya sekadar mengisi ruang kosong dalam masa senggang sahaja. Apa pun yang jelas, buku yang baik adalah kunci kepada khazanah kebijaksanaan. Ibu bapa merupakan insan yang penting untuk melahirkan anak yang berilmu, bersahsiah baik dan dihormati oleh orang lain. Persoalannya, apakah modus operandi yang boleh diambil oleh ibu bapa untuk melahirkan generasi yang cinta akan ilmu pengetahuan?
          Untuk memupuk budaya membaca dalam diri anak-anak, ibu bapa haruslah membawa anak-anak ke pesta buku atau pameran buku  seperti Pameran Buku Antarabangsa  di PWTC yang diadakan pada setiap tahun. Hal ini dapat melahirkan generasi yang cinta akan ilmu pengetahuan. Apabila ibu bapa membawa anak-anak ke pameran buku, minat anak-anak untuk membaca buku akan bercambah. Anak-anak akan dapat melihat pelbagai jenis buku yang menarik serta menyeronokkan untuk dibaca. Mereka berpeluang untuk memilih buku-buku yang disukai dan diminati. Dalam hal ini, peranan ibu bapa amat penting untuk membimbing anak-anak agar dapat memilih buku yang berkualiti yang mampu membina pemikiran atau minda anak-anak. Selain itu, anak-anak juga berpeluang untuk membaca buku-buku yang berunsurkan keagamaan, falsafah, motivasi dan sebagainya.. Hal ini secara tidak langsung, dapat meningkatkan ilmu pengetahuan dalam diri anak-anak. Di samping itu, anak juga berpeluang untuk membaca buku-buku yang memaparkan sejarah negara lain. Hal ini, dapat meningkatkan pengetahuan am anak-anak tentang Negara luar.Tegasnya, usaha ibu bapa membawa anak-anak mereka ke pameran buku merupakan salah satu langkah efektif yang melahirkan minat anak-anak untuk membaca karya-karya ilmiah dan menjadi ulat buku dan seterusnya menjadi generasi yang cinta akan ilmu pengetahuan.
         Selain itu, ibu bapa harus  menjadi suri teladan kepada anak-anak dalam aspek membaca. Justeru, ibu bapa hendaklah  memulakan budaya membaca di rumah dengan menyediakan persekitaran yang boleh  merangsang minat anak-anak untuk membaca buku-buku ilmiah. Ibu bapa hendaklah membaca buku-buku dan surat khabar  pada setiap hari terutama pada waktu senggang. Perbuatan ibu bapa yang suka membaca pasti akan dicontohi dan diikuti oleh anak-anak keranapepatah menyatakan bagaimana acuan begitulah kuihnya, ke mana tumpah kuah kalau tidak ke nasi. Pada zaman ini, anak-anak tidak tahu untuk mengisi masa lapang dengan aktiviti-aktiviti yang berfaedah Jadi, ibu bapa boleh mendidik anak anak sejak kecil lagi untuk membaca buku-buku ilmiah. Bak kata pepatah, melentur buluh  biarlah dari rebungnya dan asas pendidikan bermula dari rumah. Ibu bapa boleh melakukan aktiviti membaca dengan anak-anak pada hari cuti sewaktu semua ahli keluarga berehat di rumah. Dalam hal ini, Ibu bapa janganlah menjadi seperti ketam mengajar anaknya berjalan betul, sedangkan diri sendiri  tidak betul. Sekiranya, ibu bapa tidak pernah membaca bahan-bahan ilmiah, bagaimanakah anak-anak hendak membaca bahan-bahan tersebut. Anak-anak akan suka membaca apabila melihat orang tuanya membaca. Jelasnya, ibu bapa harus menjadi suri teladan yang baik  kepada anak-anak kerana anak-anak akan menjadikan membaca sebagai satu amalan ke mana-mana sahaja mereka pergi bak kata pepatah kalau asal benih yang baik jatuh ke laut menjadi pulau, terlontar ke udara menjadi kejora, dicampak ke bumi menjadi penawar.

          Di samping itu, Ibu bapa perlu menambahkan sumber bacaan dengan membeli banyak buku atau majalah yang yang mengandungi  ilmu  pengetahuan yang boleh mengembangkan minda anak-anak.  Pepatah menyatakan bahawa  membaca jambatan ilmu.  Apabila anak- anak banyak membaca, sudah tentu pengetahuan mereka pun akan meningkat. Sebagai ibu bapa, mereka hendaklah membeli bahan bacaan secara tetap pada setiap bulan seperti Majalah Dewan Masyarakat, Dewan Pelajar, Dewan Siswa, Al Islam  dan Solusi selain surat khabar yang dibeli secara harian. Secara tidak langsung, anak-anak akan tertarik untuk membaca buku-buku dan majalah yang mengandungi banyak ilmu dan pengetahuan yang dibeli oleh ibu bapa mereka. Minat untuk membaca bahan-bahan yang berkualiti pasti akan bercambah dalam jiwa mereka. Anak-anak yang disuburkan dengan budaya membaca, pasti dapat membina jati diri unggul, mempunyai minda sihat, berketerampilan sebagai orang berilmu dan berpengetahuan tinggi. Selain itu, ibu bapa boleh memberikan hadiah berupa buku sempena hari lahir atau hadiah sempena kejayaan anak-anak dalam pelajaran atau peperiksaan sebagai ganjaran. Sebagai contohnya, ibu bapa boleh menghadiahkan buku-buku motivasi sempena hari lahir anak. Hadiah tersebut dapat memotivasikan diri anak-anak. Mereka akan belajar bersungguh-sungguh kerana menghargai jasa ibu bapa. Amalan seperti ini akan menyebabkan anak-anak hidup dalam dunia buku. Tak kenal maka tak cinta.   
            Seterusnya  ibu bapa juga hendaklah menggalakkan anak-anak  membaca buku dengan cara mendaftar anak mereka menyertai kelab buku.  Melalui penyertaan dalam kelab buku, anak-anak akan menyertai pelbagai aktiviti dan mengetahui perkembangan buku yang terkini.  Sebagai contohnya, anak-anak boleh menjadi ahli Kelab Buku Ilmiah yang ditubuhkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka.    Apabila anak-anak menjadi ahli kelab buku, mereka didedahkan dengan pelbagai perkara yang berkaitan dengan buku . Secara tidak langsung, anak-anak juga dapat membezakan bahan bacaan yang bermutu dan bahan bacaan yang tidak berkualiti. Anak-anak pasti memilih bahan-bahan yang berkualiti kerana boleh mematangkan minda seseorang dalam mengeluarkan pendapat atau melakukan tindakan. Selain itu, ibu bapa juga boleh menggalakkan anak-anak menyertai  Kempen Galakan Membaca  dan Kembara Buku yang dianjurkan oleh pelbagai pihak. Dengan menghadiri kempen-kempen  membaca,  anak-anak bukan sahaja mendapat kesedaran tentang pentingnya membaca malah ibu bapa turut memperoleh manfaatnya.  Tegasnya, ibu bapa perlulah membawa anak-anak menghadiri kempen-kempen membaca dan menggalakkan anak-anak menyertai ahli kelab buku agar anak-anak  membaca bahan-bahan ilmiah yang dapat membentuk anak-anak menjadi insan yang mulia dan disanjung tinggi.

             Selain itu, ibu bapa  boleh membina perpustakaan mini yang mengandungi bahan-bahan ilmiah yang menempatkan pelbagai jenis  buku ilmiah  seperti novel karya agung,  kamus, buku- buku agama, dan buku motivasi diri  selain buku pelajaran dan buku rujukan. Hal ini dapat menyuburkan minat anak-anak  untuk membaca buku-buku yang disimpan di rak buku tersebut. Ibu bapa juga hendaklah memainkan peranan dan memastikan anak mereka membaca buku-buku yang disediakan dalam perpustakaan mini di rumah.  Anak-anak  juga  digalakkan  untuk membaca surat khabar atau majalah ilmu pada setiap hari dan membaca sebuah buku pada  setiap minggu. Hal ini akan menyebabkan masa lapang anak-anak terisi dengan aktiviti membaca tanpa perlu keluar rumah. Perpustakaan mini yang disediakan oleh ibu bapa tidak memerlukan modal yang banyak. Buku-buku dan majalah yang dibeli pada setiap bulan boleh disimpan dalam perpustakaan mini tersebut. Pembacaan buku dan majalah yang berulang kali dapat menguatkan minda anak-anak. Pepatah menyatakan bahawa bangsa yang membaca, bangsa yang berjaya.  Apabila anak-anak sudah biasa didedahkan untuk membaca surat khabar pada  setiap hari dan sebuah buku pada setiap minggu, anak-anak akan biasa berbuat demikian  dan  menjadikan membaca sebagai  amalan rutin harian kerana alah bisa, tegal dek biasa. Mereka akan selalu membaca apabila  ada  masa terluang dan mereka akan menghargai masa kerana masa itu emas. Tambahan pula, jika ibu bapa mempunyai waktu terluang, mereka bolehlah membawa anak-anak ke perpustakaan awam yang berhampiran dengan tempat tinggal mereka. Perpustakaan awam memuatkan berjuta-juta buku yang boleh meningkatkan ilmu pengetahuan anak-anak. Malahan, apabila anak-anak pergi ke perpustakaan awam, mereka dapat membaca buku dalam keadaan yang senyap, aman, damai dan tenang. Jelasnya, usaha ibu bapa membawa anak-anak mereka ke perpustakaan awam dan menyediakan perpustakaan mini di rumah dapat melahirkan generasi yang cinta akan ilmu pengetahuan.
Tambahan lagi, ibu bapa juga boleh memupuk minat membaca bahan-bahan ilmiah dengan membimbing anak-anak mereka melayari internet. Internet merupakan sumber ilmu yang boleh digunakan oleh semua lapisan masyarakat. Namun, terdapat remaja yang yang menyalahgunakan internet seperti melihat gambar-gambar lucah. Dalam konteks ini, ibu bapalah merupakan pembimbing kepada anak-anak mereka. Ibu bapa perlu mendidik anak-anak melayari internet untuk mencari judul  buku ilmiah yang terkenal supaya boleh dibeli di kedai-kedai buku berhampiran. Hal ini dapat  menggalakkan anak-anak membaca karya-karya ilmiah supaya boleh melahirkan generasi yang cinta akan ilmu pengetahuan. Ilmu yang diperoleh daripada bahan-bahan ilmiah boleh dijadikan sebagai panduan hidup. Hal ini disebabkan mesej-mesej yang terkandung dalam bahan bahan ilmiah penting dalam kehidupan. Justeru, ibu bapa memainkan peranan yang penting dalam memupuk minat membaca buku-buku ilmiah.
              Berdasarkan perbincangan di atas, dapatlah saya simpulkan bahawa untuk melahirkan generasi yang cinta akan ilmu pengetahuan, ibu bapalah yang memainkan peranan penting menggalakkan anak-anak membaca bahan-bahan ilmiah. Ibu bapa harus menanamkan sikap suka membaca dalam kalangan anak mereka kerana membaca akan menjadikan minda anak-anak mereka cerdas. Oleh hal yang demikian,  ibu bapa mestilah menjadi pendorong untuk menyemaikan minat membaca dalam kalangan anak mereka.  Jika anak-anak sudah jatuh cinta dengan aktiviti membaca, kejayaan dalam bidang pelajaran akan terbentang luas di depan mereka pada masa depan. Ibn Khaldun  dalam karya besarnya, Muqaddimah, pernah berkata bahawa kekuatan ilmu bukan sahaja menjadi syarat dan pelengkap kepada kekuatan fizikal, malah memberi arah dan makna kepada manusia dan bangsa terbabit. Tegasnya, ibu bapa memainkan peranan yang penting dalam melahirkan generasi yang cinta akan ilmu pengetahuan. 

Rekayasa: Harum Awang- GC & Munsyi Dewan DBP