Search This Blog

Friday, November 28, 2014

SPM Karangan Cemerlang : Langkah-Langkah Menangani Jenayah

Langkah-Langkah Menangani Jenayah

Kadar jenayah yang semakin meningkat di negara ini membimbangkan orang ramai.  Sebagai seorang pegawai polis anda telah ditugaskan memberi ceramah tentang langkah–langkah untuk menangani jenayah di negara ini kepada penduduk bandar raya Alor Setar. Tuliskan ceramah tersebut selengkapnya.

Assalamualaikum dan salam Satu Malaysia saya ucapkan kepada tuan-tuan dan puan-puan yang sudi hadir pada petang ini.  Saya Inspektor Musaja dari Pejabat Kontinjen Polis Diraja Malaysia Alor Setar, Kedah merakamkan ucapan berbanyak-banyak terima kasih kepada tuan-tuan dan puan-puan yang hadir untuk mendengar ceramah bertajuk “Langkah-langkah Menangani Jenayah di negara ini”.

Kadar jenayah yang semakin meningkat di negara ini membimbangkan orang rama. Saban hari media massa melaporkan kejadian jenayah.  Ramai rakyat negara ini menjadi mangsa penjenayah yang tidak berperikemanusian dan biasanya bertindak ganas hingga mengakibatkan mangsa kehilangan nyawa dan menderita sepanjang hidup. Tuntasnya, gejala jenayah ini sememangnya perlu dibanteras dengan segera agar tidak berleluasa dan seterusnya pelbagai tindakan perlu diambil untuk melupuskan gejala ini daripada kehidupan seharian. 


Tuan-tuan dan puan-puan,
      Usaha yang paling utama dan efisien ialah cara komunikasi dan pergaulan antara ibu bapa, adik-beradik dan rakan-rakan. Ibu bapa khususnya perlu bijak dalam hal mendidik anak agar tidak terjerumus ke kancah perkara sosial seperti gejala jenayah ini. “Melentur buluh biarlah dari rebungnya” merupakan satu ungkapan yang perlu diambil iktibar oleh setiap ibu bapa dalam mengajar dan mengatur kehidupan anak-anak mereka. Ibu bapa perlu memberi pendidikan yang berkaitan hal agama sejak kecil supaya anak-anak menyedari perkara tersebut sama ada salah atau betul. Janganlah sampai nasi sudah menjadi bubur, barulah ibu bapa kelam kabut untuk mengambil tindakan yang sememangnya amat susah diterima oleh para remaja yang mempunyai pendirian yang tersendiri. Seterusnya ibu bapa pula tidak seharusnya bersikap lepas tangan dalam mendidik anak-anak disebabkan kesibukan bekerja dan melepaskan tanggungjawab kepada pembantu rumah. Jadi ibu bapa harus memberi perhatian yang secukupnya kepada anak-anak supaya mereka menganggap ibu bapa sering menjadi tempat berlindung dan tempat mengadu masalah.

      Selain itu, antara inisiatif yang dapat kita ambil sebagai langkah mencegah jenayah yang merupakan isu terpenting di negara ini ialah dengan mewujudkan konsep bandar dan pekan selamat. Konsep ini merangkumi suatu skop yang sangat besar untuk dibincangkan. Pelbagai langkah telah dilaksanakan dalam proses mewujudkan konsep bandar dan pekan selamat. Antaranya adalah dengan pengawalan rapi oleh pihak-pihak tertentu seperti Rela, Rukun Tetangga, Polis dan sebagainya dalam usaha memastikan kawasan tersebur bebas daripada kes-kes kecurian, rompakan, rogol, ragut dan sebagainya. Dengan pengawalan daripada pasukan-pasukan tersebut, sekurang-kurangnya dapat menakutkan si penjenayah daripada melakukan akiviti mereka dan seterusnya mewujudkan konsep bandar dan pekan selamat. Bantuan daripada alat-alat
teknologi pada zaman kini dapat membantu kita menyempurnakan konsep bandar dan pekan selamat. Kamera-kamera litar tertutup boleh dipasang sebagai langkah berjaga-jaga. Medium ini dapat menjadi bukti apabila sesuatu kes jenayah berlaku di kawasan tersebut. Sekiranya konsep bandar dan pekan selamat diwujudkan, nescaya terdetik rasa was-was kepada si penjenayah daripada melakukan aktivitinya di kawasan tersebut. Dengan cara ini, konsep bandar dan pekan selamat jelas sekali merupakan usaha yang efektif bagi mencegah jenayah. 


      Pengenalan semula mata pelajaran Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan (PSK) kepada pelajar sekolah rendah dan menengah juga merupakan salah satu cara untuk membanteras kes jenayah. Mata pelajaran PSK ini merupakan satu langkah ke arah membentuk keperibadian para remaja yang mulia dan juga berperanan memupuk nilai-nilai murni dalam diri setiap remaja. Melalui pengenalan semula mata pelajaran ini, seseorang individu berupaya menyelesaikan masalah yang dihadapinya tanpa unsur-unsur keganasan, memahami kepelbagaian agama, budaya serta mampu menyumbang kepada pembangunan negara. Sebagai contoh, remaja yang terdidik dengan keperibadian tinggi mempunyai skil sahsiah yang tinggi dan sentiasa berusaha membangunkan potensi diri ke arah perkara yang positif dan terhindar daripada gejala sosial kerana bagaimana acuan begitulah kuihnya.  Kesimpulannya, kes-kes jenayah boleh ditangani dengan adanya pengenalan semula mata pelajaran khas yang boleh dipelajari oleh para remaja.

     
Selain itu, kerajaan juga boleh memperkasakan ekonomi negara bagi meningkatkan peluang pekerjaan. Bagaimana isu ini dikatakan menjadi usaha untuk mencegah jenayah yang sedang kita bincangkan ? Dengan usaha kerajaan ini, peluang pekerjaan untuk pemuda-pemudi tiang negara dapat ditingkatkan. Perkara ini dikatakan dapat mencegah jenayah kerana antara faktor seseorang melibatkan diri dalam kancah jenayah ialah kerana gagal mendapatkan pekerjaan bagi menampung hidup. Oleh itu, mereka mengambil jalan mudah dengan melibatkan diri dalam jenayah seperti kongsi gelap, pengedaran dadah, perompak, dan sebagainya. Sekiranya mereka memiliki satu pekerjaan yang tetap, sekurang-kurangnya mereka sudah memiliki penggantungan untuk menampung hidup selain melalui cara yang diharamkan agama mahupun negara. Secara tuntasnya, antara usaha yang boleh dilakukan kerajaan bagi mencegah jenayah di Malaysia adalah dengan memperkasakan bidang ekonomi bagi meningkatkan peluang pekerjaan untuk rakyat Malaysia.

      Di samping itu, kempen-kempen pencegahan jenayah juga boleh diadakan di setiap sekolah. Pelbagai kempen yang kebiasaannya diadakan mampu meningkatkan kesedaran dalam kalangan para remaja terutamanya peringkat sekolah rendah kerana melentur buluh biarlah dari rebungnya. Hal ini demikian kerana pelajar pada tahap ini kurang terdedah kepada kegiatan-kegiatan jenayah. Dengan ini, mereka akan berasa takut untuk melakukan jenayah setelah terlibat dalam kempen-kenpem kesedaran yang diadakan di sekolah. Sebagai contoh, kempen pencegahan jenayah yang sesuai diadakan di sekolah adalah seperti tayangan video, pameran berunsurkan aktiviti jenayah dan mewajibkan undangan kepada pegawai polis untuk hadir memberi ceramah mengenai kegiatan jenayah, kesan dan hukuman kepada pesalah. Oleh itu, kempen kesedaran sepatutnya diadakan untuk meningkatkan tahap kesedaran para remaja yang sejak kebelakangan ini amat membimbangkan.
Para hadirin sekalian, penubuhan kelab bersifat antijenayah sosial di sekolah merupakan antara modus operandi untuk menangani masalah jenayah yang semakin berleluasa ibarat cendawantumbuh selepas hujan. Kelab Pencegah Jenayah (KPJ) dan Skim Lencana Anti Dadah (SLAD) merupakan antara kelab bersifat antijenayah yang ditubuhkan di sekolah. Kelab-kelab seperti ini bukan sahaja mendedahkan keburukan melakukan jenayah malahan menggalakkan pelajar untuk senantiasa melakukan perkara-perkara yang berunsurkan sifat mahmudah seperti tolong-menolong dan ikhlas dalam melakukan sesuatu pekerjaan. Kelab bersifat antijenayah sosial dapat didefinisikan sebagai pertubuhan yang mencegah sebarang penjenayahan daripada berlaku dan menjadi lebih parah. Hal ini bersesuaian dengan pepatah, ‘mencegah lebih baik daripada mengubati’. Kegiatan-kegiatan jenayah sosial yang berlaku dalam kalangan remaja seperti gangsterisme, vandalisme dan buli didapati semakin merosot sejurus selepas penubuhan kelab-kalab bersifat antijenayah sosial di sekolah. Oleh hal yang demikian, kelab-kelab bersifat antijenayah sosial haruslah lebih giat dilaksanakan bagi membanteras gejala jenayah di negara ini. 

      Natijahnya, terdapat pelbagai usaha yang boleh dilakukan bagi membendung jenayah sosial di negara ini. Jelaslah bahawa jenayah membawa padah. Semua pihak haruslah berganding bahu membanteras kegiatan jenayah agar aktiviti negatif ini tidak berlarutan dan bertambah serius lagi. Saya yakin dengan langkah-langkah yang telah diutarakan sebentar tadi, jenayah di negara ini dapat dibendung. Hanya di sini sahaja penyampaian ceramah saya ini.  Harapan saya ceramah tadi telah dapat menyedarkan hadirin bahawa semua pihak perlu berkerjasama bagai aur dengan tebing dan berperanan untuk mencegah jenayah.  Sekian, terima kasih.


Rekayasa: Harum Awang- GC & Munsyi Dewan DBP

No comments:

Post a Comment

Komen benda elok2 je. ^^